Umno bukan penaja kempen beli barangan Muslim, kata ahli MT


SM Amin

Umno berkata mereka bukan penaja atau penggerak kempen beli barangan keluaran Muslim yang juga dianggap kempen boikot produk bukan Muslim seperti didakwa pimpinan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2019.

UMNO bukan penaja atau penggerak kempen beli barangan keluaran Muslim yang juga dianggap kempen boikot produk bukan Muslim seperti didakwa oleh pimpinan Pakatan Harapan, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Kempen itu adalah gerakan rakyat melalui persatuan pengguna serta badan masyarakat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), katanya.

“Sebenarnya tiada apa-apa dibincangkan di peringkat Umno untuk kempen produk Muslim yang sebenarnya digerakkan oleh Ummah,” katanya yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh.

Razlan memberitahu The Malaysian Insight, Umno bersetuju dengan kempen itu hanya atas semangat solidariti Muslim.

“Perkara ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia rentetan daripada tindakan-tindakan kerajaan yang dilihat tidak membantu orang Melayu Islam,” katanya.

Beliau merujuk dasar kerajaan di bawah Pakatan Harapan yang didakwanya meremehkan kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia daripada cadangan meratifikasi dokumen hak asasi manusia antarabangsa sampailah kepada sikap tidak tegas kerajaan dalam isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular.

Ummah bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada April lalu melancarkan kempen beli produk keluaran Muslim dengan maksud menggerakkan ekonomi orang Islam di Malaysia dan pada masa sama, mempromosikan produk halal kepada pengguna.

Selang beberapa bulan, kempen itu kembali hangat selepas berbangkit isu seni khat dan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan yang dibantah keras oleh badan kepentingan pendidikan vernakular.

Kempen itu juga jadi perhatian ketika sebahagian masyarakat Muslim di Malaysia merasakan ada tekanan diberikan oleh kelompok bukan Muslim kepada pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.

Kempen itu kemudiannya dipromosikan oleh sesetengah dalam kalangan Muslim sendiri sebagai gerakan memboikot barangan dan perkhidmatan bukan Muslim.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah meminta menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan membezakan antara kempen beli produk Muslim dengan boikot produk bukan Muslim.

“Kita cuma mahu pastikan usahawan bumiputera dan syarikat-syarikat bumiputera diberikan keutamaan, bukannya memboikot mana-mana produk orang lain.

“Kita hanya berkempen untuk memastikan semua orang Melayu Islam memberi keutamaan kepada produk-produk bumiputera dan Islam. Itu adalah kempen.

“Jadi kepada menteri dan penyokong PH, kena bezakan antara kempen dan boikot. Kita semua berkempen membeli barangan Muslim dahulu. Tidak pernah kita hendak boikot produk orang lain,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang ditanya mengenai kempen boikot produk bukan Muslim menyifatkannya digerakkan oleh mereka yang cetek pemikiran.

Beliau mahu gerakan seperti itu dihentikan kerana tujuannya hanya mencetuskan kemarahan umum.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya minggu lalu juga menolak tindakan boikot itu dan menyifatkannya sebagai tidak wajar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kemudiannya menyeru PAS dan Umno supaya membantu menghentikan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera sekiranya kedua-dua parti itu tidak memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dalam pada itu mendesak pimpinan kerajaan tidak mengaitkan kempen boikot produk bukan Bumiputera itu dengan parti kerana kempen seumpama itu tidak pernah berlaku. – 8 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen