Pakistan tidak benar Presiden India guna ruang udara


Presiden India Ram Nath Kovind meminta kebenaran untuk menggunakan ruang udara Pakistan menuju ke Iceland tetapi ditolak Islamabad. – Gambar EPA, 7 September, 2019.

PAKISTAN menolak permintaan Presiden India Ram Nath Kovind untuk menggunakan ruang udaranya ekoran ‘sikap’ New Delhi sejak kebelakangan ini.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua negara berhubung konflik di wilayah Kashmir.

“Keputusan dibuat memandangkan sikap India,” kata Menteri Luar Pakistan Shah Mehmood Qureshi dalam satu kenyataan.

“Presiden India meminta kebenaran untuk menggunakan ruang udara Pakistan menuju ke Iceland.

“Tetapi kami mengambil keputusan untuk tidak membenarkannya,” kata Qureshi.

Pakistan menutup ruang udaranya kepada India selepas pertempuran udara pada Februari lalu yang menghangatkan lagi ketegangan antara Islamabad dan New Delhi.

Namun Pakistan membuka semula ruang udara kepada semua trafik udara awam pada Julai lalu, sekali gus mengakhiri larangan yang menjejaskan sebahagian besar laluan udara antarabangsa. – AFP,  7 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen