PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte berkata yang Rusia akan memberikan 5,000 senapang Kalashnikov kepada negara itu, penghantaran senjata pertama dari Rusia kepada sekutu kuat Amerika Syarikat itu.
Duterte yang melawat Moscow Mei lalu dalam usaha menjarakkan hubungan dengan Washington berkata senjata api itu akan sampai melalui kapal tidak lama lagi.
Amerika Syarikat selama ini menjadi pembekal utama senjata api kepada Filipina.
Tetapi tentera Filipina yang bergelut memerangi kebangkitan komunis di kawasan pendalaman negara itu serta pelampau Islam di selatan kawasannya masih merupakan antara pasukan tentera paling lemah di rantau Asia Tenggara.
“Sebahagian daripada apa yang saya perolehi dari Rusia ketika kami berada di sana hampir 24 jam adalah kita akan dapat Kalashnikov,” kata Duterte pada perhimpunan tentera dan polis di Manila.
Kedutaan Rusia enggan mengulas kenyataan Duterte itu.
Duterte tidak mengatakan jenis senapang apakah akan dihantar pembuat senjata api Rusia ke Manila.
“Setakat yang saya tahu, Rusia tidak pernah bekalkan kita apa-apa senjata dahulu,” kata jurucakap kementerian pertahanan, Aresenio Andolong kepada AFP.
Duterte yang mula berkuasa tahun lepas menimbulkan ketegangan hubungan negara itu dengan Amerika yang sudah terjalin 70 tahun lamanya dengan bertindak mengukuhkan hubungan Filipina dengan China dan Rusia.
Pemimpin yang lantang itu berusaha mencari sumber senjata api lain disebabkan marah dengan kritikan Amerika terhadap tindakannya memerangi dadah di negara itu yang menyebabkan ribuan rakyat itu dibunuh tanpa bicara.
Tahun ini juga, China menderma hampir 6,000 senjata api dan bahan letupan kepada Manila. – AFP, 11 Oktober, 2017.
Komen