Taufan Lingling, seorang terbunuh di Korea Selatan


Ratusan kemalangan kecil turut dilaporkan di seluruh Korea Selatan kibat Taufan Lingling yang melanda negara berkenaan. – Gambar EPA, 7 September, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA seorang maut hari ini di Korea Selatan akibat Taufan Lingling yang mencetuskan hujan lebat dan angin kencang, lapor agensi berita Yonhap.

Wanita berusia 70-an dilaporkan maut di Boryeong, kira-kira 150 kilometer barat daya Seoul, menurut pegawai penyelamat.

Ratusan kemalangan kecil turut dilaporkan di seluruh negara dengan hampir 300 penerbangan dibatalkan setakat ini.

Lebih 150 penerbangan pelepasan dan ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Incheon Seoul dibatalkan.

Turut terjejas 120 penerbangan pergi dan balik dari Pulau Jeju, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.

Sebelum ini, satu siri amaran dikeluarkan di seluruh negara berikutan taufan ke-13 tahun ini bergerak pada kelajuan maksimum 39 meter sesaat atau 140 kilometer sejam.

Taufan itu diramal terus bergerak ke utara pada tengah hari.

“Rekod kekuatan angin dijangka dicatatkan di pulau-pulau, dan kawasan pantai selatan dan barat,” kata persatuan Meteorologi Korea.

Kerajaan pusat dan perbandaran telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan kerosakan. – Bernama, 7 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen