SEKURANG-KURANGNYA lima orang maut akibat rokok elektronik atau vape di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa semalam.
Beratus orang menghidap penyakit paru-paru teruk di negara itu, dan beberapa remaja terpaksa diletakkan dalam keadaan koma.
Menurut pihak berkuasa, tiada bahan tunggal ditemui dalam sampel yang diuji di makmal tetapi penyiasat di New York berkata mereka kini memberi tumpuan kepada rokok elektronik mengandungi minyak vitamin E yang dijual di pasaran gelap.
Pihak berkuasa tempatan California dan Minnesota semalam mengumumkan dua orang mati berkaitan vape. Kedua-dua mangsa mempunyai masalah kesihatan serius di mana salah seorang daripada mereka menggunakan vape mengandungi ganja.
Kini ada lebih 450 kes masalah paru-paru berkaitan vape di AS.
Seorang pakar pulmonologi, Daniel Fox berkata pesakit yang dirawat menghidap radang paru-paru tidak berjangkit yag dipanggil ‘lipoid pneumonia’ yang berlaku apabila sama ada minyak atau bahan mengandungi lipid masuk ke dalam paru-paru.
Jabatan Kesihatan New York berkata keputusan ujian makmal menunjukkan kandungan minyak vitamin E yang tinggi dalam katrij ganja yang digunakan oleh 34 pesakit akibat penggunaan vape di negeri itu.
Vitamin E Acetate terkandung dalam makanan tambahan yang diambil secara makan atau disapu pada kulit, dan berbahaya jika disedut. – AFP, 7 September, 2019.
Komen