APPLE, semalam, mengecam laporan kajian Google yang mencadangkan iPhone mungkin jadi sasaran operasi godam jangka panjang, menyifatkannya “tidak tepat dan mengelirukan”.
Jurucakap Apple Fred Sainz dalam satu kenyataan berkata kajian dikeluarkan Google membentuk “tanggapan salah” yang kebanyakan pengguna iPhone mungkin terkesan dengan godaman itu.
Sainz berkata berbeza dengan dakwaan Google, kejadian itu “hanya tertumpu” kepada serangan yang menjejaskan “sebilangan kecil laman sesawang yang kandungannya berkaitan dengan komuniti Uighur, etnik minoriti di China.”
“Tanpa mengira skala serangan, kami sangat mengambil berat soal keselamatan dan sekuriti semua pengguna kami,” katanya.
“Kajian Google, dikeluarkan enam bulan selepas penambahbaikan iOS dikeluarkan, membentuk tanggapan salah ‘ekploitasi massa’ untuk ‘memantau aktiviti persendirian keseluruhan populasi (pengguna) dalam masa sebenar’, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan semua pengguna iPhone yang peranti mereka terjejas. Ini bukan keadaan sebenar.”
Penyelidik pasukan petugas khas sekuriti Google, Projek Zero minggu lepas berkata terdapat operasi godaman “tidak memilih” yang mensasarkan pengguna iPhone yang masuk ke laman web tertentu dengan meletakkan perisian berbahaya bagi mendapatkan data pengguna seperti gambar, lokasi dan data lain.
“Dengan hanya melayari laman web yang digodam sudah cukup untuk pengodam menyerang peranti anda, dan jika berjaya, meletakkan implan pemantauan,” kata Ian Beer dari Projek Zero.
Sainz berkata Apple percaya laman web serangan itu beroperasi hanya selama dua bulan, bukan dua tahun seperti dakwaan Google.
“Kami memulihkan kelemahan itu pada Februari- bekerja dengan sangat pantas untuk menyelesaikan isu hanya 10 hari selepas mengetahuinya,” kata Sainz.
“Apabila Google menghubungi kami, kami sudah berusaha menyelesaikan masalah itu. Sekuriti tidak pernah tamat dan pengguna kami yakin kami bekerja keras untuk mereka.” – AFP, 7 September, 2019.
Komen