BINTANG pop Billie Eilish menyeru jutaan peminatnya di seluruh dunia untuk terlibat dalam protes perubahan iklim dunia yang dirancang bulan ini.
Penyanyi Amerika itu menggesa 37 juta pengikut Instagramnya untuk “turun ke jalanan” pada 20 dan 27 September ini untuk menyertai bantahan diadakan di seluruh dunia pada waktu sama sempena Sidang Kemuncak Tindakan Perubahan Iklim Dunia PBB 2019.
“Pada masa sekarang, jutaan orang di seluruh dunia merayu kepada pemimpin kita untuk memberi perhatian. Bumi semakin panas pada kadar yang sangat pantas, bongkah ais cair, air laut naik, kehidupan liar diracun, dan hutan kita terbakar,” tulisnya.
Pada Rabu, penyanyi berusia 17 tahun itu juga mengeluarkan video muzik untuk lagu terbarunya “All Good Girls Go To Hell” yang secara simbolik merujuk kepada bencana alam sekitar yang berlaku kini.
Protes besar-besaran dirancang diadakan pada 20 dan 27 September untuk memberi tekanan kepada pemimpin dunia yang berhimpun di New York sempena sidang kemuncak PBB pada 23 September.
Aktivis alam sekitar remaja Greta Thunberg dijangka mengetuai protes itu di New York. Beliau tiba di bandar kewangan AS itu minggu lepas selepas melintasi Lautan Atlantik menggunakan kapal layar sifar pembebasan karbon.
Ellish adalah penyanyi pertama lahir selepas 2000 yang menduduki carta Billboard Hot 100 bulan lepas apabila lagunya “Bad Guy” berada di tempat pertama. – AFP, 7 September, 2019.
Komen