AMERIKA Syarikat (AS) akan menyatakan sokongan terhadap etnik Uighur pada Perhimpunan Agung PBB bulan ini, kata Setiausaha Negara Mike Pompeo.
Etnik itu menerima layanan yang terburuk di dunia, katanya semalam.
Pompeo berkata isu penahanan etnik Uighur akan menjadi keutamaan AS pada perhimpunan yang dihadiri pemimpin-pemimpin dunia itu nanti.
“Kami akan dapatkan sokongan daripada negara lain untuk meghentikan perlakuan ini,” katanya ketika berucap di Kansas State University.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia mungkin akan menjadi salah satu perkara terburuk di dunia abad ini. Begitu teruk.
“Ini bukan semata-mata tentang keselamatan negara mereka, bukan tentang pelampau Islam di barat China. Ini tentang kebebasan dan maruah manusia.”
Pakar dan aktivis hak asasi manusia berkata lebih sejuta etnik Uighur dan etnik lain terutamanya yang beragama Islam ditahan di Xinjiang. China dituduh memaksa mereka meninggalkan ajaran Islam dan mengamalkan budaya Han.
Pegawai kerajaan China berkata kem-kem tahanan adalah untuk memberi masyarakat etnik ini latihan kemahiran. – AFP, 7 September, 2019.
Komen