Pink Floyd gelar Boris Johnson ‘sociopath’


Penyanyi Pink Floyd Roger Waters menggelarkan Perdana Menteri British Boris Johnson sebagai seorang “sociopath” berbahaya dan pemimpin populis dunia lain sebagai mahu memecahbelahkan dunia. – Gambar EPA, 7 September, 2019.

LEGENDA Pink Floyd Roger Waters menggelarkan Perdana Menteri British Boris Johnson sebagai seorang “sociopath” berbahaya, semalam.

Penyanyi itu berkata Johnson dan pemimpin populis lain seperti Donald Trump berusaha keras mahu memusnahkan planet ketika filem jelajah dunia terbarunya “Us + Them”- mengenai isu pendatang- ditayangkan di Festival Filem Venice.

Katanya, Presiden Brazil Jair Bolsonaro yang berhaluan kanan, Johnson dan Trump sedang dalam usaha “untuk memusnahkan planet indah yang kita diami”.

“Jika kita tidak menentang gerakan neo-liberal dan neo-fasis yang memecah belahkan planet kita, tidak ada apa-apa yang tinggal lagi untuk anak-anak kita dan anak-anak mereka,” kata bintang veteran itu.

Waters yang dilahirkan di Britain dan penyokong kuat perjuangan haluan kiri, memberitahu AFP yang Johnson “memenuhi semua paradigma fasis. Dia adalah orang jelik yang hanya berminat untuk berkuasa.”

“Fasisme sentiasa pakatan keji antara penguasa dan kelas korporat dengan sokongan popular massa tidak berpendidikan. Inilah yang berlaku di UK ketika ini,” tegasnya.

Bagaimanapun, Waters berkata beliau sedia berbincang dengan Trump, Johnson atau pemimpin parti Brexit Nigel Farage “sekiranya ia membuahkan hasil. Saya seorang yang sangat percaya batu yang dilontar ke dalam perigi akan mengubah arus yang mungkin ada baiknya.”

Tetapi, penulis lagu protes klasik seperti “The Wall” itu berkata tidak ada seorangpun pemimpin populis seluruh Eropah yang mampu bersimpati dengan manusia lain.

“Sama ada wujud cinta dalam hati atau awak tidak (ada),” katanya kepada AFP.

“(Matteo) Salvini tidak ada cinta dalam hatinya,” tambah Waters, merujuk kepada menteri dalam negeri Itali yang berhaluan kanan. “Begitu juga Boris Johnson, begitu juga Donald Trump,” katanya.

“Mereka sociopath. Kita tak boleh ambil serius mereka.”

Sebelum itu, Waters memberitahu wartawan yang jenama politik Trump dan Johnson yang memecahbelahkan “berjaya membuatkan orang biasa bergaduh sesama sendiri.”

Penyanyi berusia 76 tahun itu juga berkata ramai peminat muda datang ke konsertnya kerana “kebanyakan muzik popular tidak ada makna dan emosi. Mereka nampak kebenaran” dalam lirik lagunya yang mengecam serangan dron AS dan jurang antara yang kaya dan miskin.

Sebelum itu, pada sidang media, Waters menyuarakan sokongan kepada pengasas WikiLeaks Julian Assange yang katanya mungkin dibunuh kerana membongkar kekejaman AS di Iraq.

Beliau juga mendakwa bekas presiden Brazil Luis Inacio Lula da Silva- atau Lula- diperangkap dengan tuduhan korupsi dan “wujud kuasa tertentu yang berusaha” untuk memperlekeh revolusi Hugo Chavez ala Bolivia di Venezeula. – AFP, 7 September, 2019.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen