BANTUAN makanan yang dijanjikan mungkin tidak akan dihantar ke Korea Utara menjelang akhir bulan ini, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan Kementerian Penyatuan hari ini.
Pada Jun, Korea Selatan mengumumkan bahawa ia akan menyalurkan sejumlah 50,000 tan beras kepada Korea Utara menerusi Program Makanan Sedunia (WFP) bagi membantu negara miskin itu menangani kekurangan makanan yang semakin memburuk.
Rancangan asalnya ialah untuk menyempurnakan penghantaran itu menjelang September.
Bagaimanapun, Korea Utara dilaporkan enggan menerima bantuan itu dan menjadikan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang berlangsung bulan lepas sebagai isu.
Kementerian itu telah berusaha mengesahkan pendirian rasmi Korea Utara menerusi WFP yang beroperasi di sebuah pejabat di Pyongyang, namun tidak mendapat sebarang respons.
“Memandangkan banyak masa diperlukan untuk benar-benar melaksanakan pelan bantuan itu, termasuk mengadakan konsultasi antara WFP dan Korea Utara serta memperoleh kapal-kapal yang diperlukan, nampaknya agak sukar untuk menyempurnakan pelan awal kami menjelang September,” kata Kim Eun Han, timbalan jurucakap kementerian itu semasa taklimat akhbar.
Keputusan Korea Selatan untuk menyalurkan bantuan makanan itu dibuat susulan beberapa siri laporan berkaitan situasi kekurangan makanan yang semakin memburuk di Korea Utara.
WFP serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian sebelum ini melaporkan bahawa hasil tanaman Korea Utara tahun lepas mencecah paras terendah sejak 2008, selain menambah bahawa dianggarkan sejumlah 10 juta orang, kira-kira 40 peratus daripada penduduk, memerlukan makanan dengan kadar segera.
Hubungan antara Korea kekal buntu dengan Korea Utara tidak memberikan maklum balas kepada tawaran Seoul untuk mengadakan perbincangan dan projek kerjasama, yang nampaknya dicemari ketiadaan kemajuan dalam rundingan pembasmian senjata nuklear antara Pyongyang dan Washington. – Bernama, 6 September, 2019.
Komen