PELARIAN Rohingya berusia 11 tahun, Sayed Nul mengimbas kembali mengapa keluarganya melarikan diri daripada Myanmar: “Sami Buddha membakar rumah saya. Bunuh orang ramai dengan peluru. Dan merogol wanita.”
Bagi pekerja bantuan di Bangladesh, berurusan dengan lambakan pelarian Rohingya yang lari dari kekejaman di wilayah Rakhine di Myanmar adalah satu perkara biasa dan menyedihkan ketika mereka cuba untuk mengembalikan kehidupan golongan golongan muda tersebut.
Daripada 520,000 pelarian Rohingya yang tiba dalam beberapa minggu kebelakangan ini, 290,000 adalah kanak-kanak.
Ramai di antara mereka dihantui kejadian ngeri yang mereka saksikan, dan kini terpaksa berhimpit di dalam kem pelarian dengan kemudahan yang sangat sedikit bagi menangani trauma yang terkesan di dalam ramai anak muda.
Pekerja bantuan sedang berusaha membina sekolah dan zon selamat untuk kanak kanak di kem kem yang suram sebagai jalan penyelesaian.
Beberapa sekolah yang dibangunkan memberi kelegaan.
Di pintu masuk kem Leda yang sesak, beberapa pusat pembelajaran dibina di seberang kilang bata dengan cerobong asap hitam berkepulan.
Di dalam salah sebuah kelas, sekitar 30 orang pelajar menyanyi sambil diiringi hujan lebat yang turun di atas bumbung kanvas menenggelamkan suara kecil mereka.
Tetapi memori tentang keganasan di Rakhine tidak pernah pergi.
“Mereka adalah kanak-kanak, mereka tidak mengetahui apa yang berlaku,” Seorang guru Rohingya, Shamsul Alam memberitahu AFP.
“Kami sedang cuba membuatkan mereka lupa apa yang berlaku supaya mereka tidak rasa terganggu,” tambah beliau sambal menunjuk ke arah timbunan mainan.
Pekerja PBB berkata kebanyakan daripada mereka tidak pernah ke sekolah di negara kasal, di mana golongan majoriti Buddha melayan golongan Rohingya dengan kejam.
Pihak berkuasa Myanmar berkata pihak tentera hanya mensasarkan golongan militan Rohingya dalam tindakan keras mereka di Rakhine sejak 25 Ogos.
Namun, ramai kanak kanak di kem sekitar sempadan bandar Cox’s Bazar mengimbas kembali adegan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan dan rogol.
“Kampung mereka adalah teater perang, dengan bunyi bising dan peluru di mana mana sahaja,” kata Shamail Das, 22, seorang lagi guru di sekolah tersebut.
Mengurangkan kesengsaraan mereka
Alam, Das dan guru guru lain sengaja tidak membincangkan tentang kekejaman di Rakhine di dalam kelas.
“Jika kita bercakap tentang kekejaman tersebut dengan mereka, ia akan memberi kesan kepada minda mereka pada mulanya. Tetapi kelak ia akan membantu mengurangkan kesakitan yang dialami,” kata Morsida Akter, seorang guru warga Bangladesh.
Pada masa ini, terdapat 200 pusat pembelajaran di kem-kem yang mengajar 17,000 orang Rohingya.
Tetapi sekolah tersebut hanyalah ibarat setitis air di lautan berbanding dengan apa yang diperlukan. Uniceff, berkata mereka perlu membina 1,300 sekolah.
Kurikulumnya juga berbeza dengan apa yang ada di sekolah Bangladesh, mencerminkan yang golongan Rohingya sebenarnya tidak dialu-alukan walaupun suasana lebih selamat berbanding di Rakhine.
Subjek yang dibenarkan hanyalah Bahasa Inggeris, Bahasa Burma, Matematik dan nasihat kesihatan seperti mencuci tangan.
Bahasa Bengali yang digunakan secara meluas di Bangladesh tidak dibenarkan.
Sebelum penghijrahan terbaru ini, Bangladesh telahpun menempatkan 400,000 pelarian Rohingya akibat peningkatan keganasan dalam sejarah Rakhine.
Kerajaan Dhaka membenarkan pelarian Rohingya memasuki negara itu, tetapi tidak mahu terlibat dalam sebarang proses bagi memudahkan integrasi mereka.
Kebebasan mereka juga sangat terhad dan perkahwinan antara orang Rohingya dan Bangladesh adalah dilarang.
“Mereka tidak perlukan Bahasa Bengali. Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa,” kata pegawai jabatan pendidikan tempatan, Mohammed Zakara.
“Apa apa pun mereka akan pulang ke Myanmar.”
Bangladesh berulang kali berkata bahawa rakyat Rohingya harus pulang ke Myanmar.
Tetapi Myanmar, yang tidak mahu memberi golongan itu kerakyatan, membuat janji yang tidak pasti.
Beberapa Rohingya dijangka akan pulang ke kampung halaman mereka di Rakhine.
Sebahagian daripada pelarian awal Rohingya sudah menghabiskan masa selama 20 tahun di kem di Bangladesh.
Itu bermakna kanak kanak seperti Sayed Nul akan hidup dengan trauma di kem pelarian selama bertahun-tahun. – AFP, 11 Oktober, 2017.
Komen