Taufan Lingling semakin menghampiri Korea Selatan


Taufan yang kuat dan semakin pantas menghampiri Korea Selatan dengan angin kencang serta hujan lebat dijangka melanda negara itu tidak lama lagi. – Gambar EPA, 6 September, 2019.

TAUFAN yang kuat dan semakin pantas menghampiri Korea Selatan dengan angin kencang serta hujan lebat dijangka melanda negara itu tidak lama lagi, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan agensi cuaca pada Jumaat.

Lingling yang merupakan taufan ke-13 tahun ini melewati kawasan laut di bahagian barat daya Okinawa, Jepun pada kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam pada jam 7 pagi, menurut Persatuan Meteorologi Korea.

Agensi cuaca memberi amaran kelajuan angin boleh mencapai puncak pada 55 meter sesaat atau 200 kilometer sejam di beberapa kawasan pulau.

Pada kelajuan semasa, taufan itu dijangka tiba di kawasan perairan 150 kilometer di barat daya Jeju menjelang jam 3 pagi pada Sabtu dan 140 kilometer di barat daya Seoul menjelang pukul 3 petang pada hari sama.

Ia diramal melanda wilayah Hwanghae di Korea Utara pada jam 7 malam, menurut agensi cuaca itu.

Korea Selatan bersiap siaga untuk berdepan badaian taufan kuat itu dengan amaran awal dikeluarkan ke seluruh negara. – Bernama, 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen