PIHAK berkuasa Filipina mendakwa seorang wanita Amerika Syarikat kerana cuba menyeludup seorang bayi berusia enam hari keluar dari negara itu yang diletakkan dalam beg dipakai di pinggangnya ketika cuba menaiki pesawat keluar dari Filipina.
Wanita terbabit, Jennifer Talbot, 42, tidak ada dokumen penjagaan sah untuk bayi itu tetapi berjaya melepasi sistem pemeriksaan dan imigresen sebelum pegawai di pintu pelepasan mendatanginya di lapangan terbang antarabangsa Manila kelmarin.
Pegawai Biro Siasatan Nasional berkata wanita terbabit membawa bayi lelaki di dalam beg selempang ketika cuba berlepas menaiki pesawat untuk pulang ke AS.
Pendakwa mendakwa Talbot semalam atas tuduhan penyeludupan manusia, di mana jika disabitkan bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara lebih 10 tahun, kata pihak berkuasa pada sidang media.
Penyiasat percaya bayi itu yang kini dalam jagaan perkhidmatan kebajikan, dilahirkan oleh ibu warga Filipina di selatan negara itu dan diterbangkan ke Manila.
Bagaimana Talbot boleh mendapat bayi itu, masih dalam siasatan, tetapi pihak berkuasa percaya mereka sudah mengesan ibu kandung. Pendakwa tidak memfailkan tuduhan menculik. – AFP, 6 September, 2019.
Komen