NGO mohon Sultan Selangor nasihat Azmin berundur


Mohd Farhan Darwis

Presiden Bangkit Shahrin Azlan, 39, berkata Sultan Selangor perlu menasihati Azmin meletak jawatan kerana menteri itu merupakan wakil rakyat di Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 September, 2019.

SATU NGO memohon kepada Sultan Selangor agar menasihati Azmin Ali untuk meletak jawatan Kabinet ekoran penularan skandal video seks yang didakwa melibatkan menteri itu.

NGO Bangkit dalam satu memorandum menyebut, Azmin perlu meletak jawatan kerana penyebaran video seks berkenaan memalukan negara.

Presiden Bangkit Shahrin Azlan, 39, berkata Sultan Selangor perlu menasihati Azmin meletak jawatan kerana menteri itu merupakan wakil rakyat di Selangor.

“Kita mohon Sultan Selangor campur tangan, (Azmin) Adun di Selangor, DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak terletak di dalam Selangor.

“Kita harap pihak istana dapat mempertimbangkan agar Sultan nasihatkan Azmin supaya meletak jawatan dalam Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, hari ini.

Memorandum berkenaan diterima Setiausaha Sulit Sultan Selangor Munir Bani.

Turut diserahkan adalah laporan forensik oleh syarikat firma swasta di London, Verden Forensics ke atas rakaman video yang didakwa menampilkan Azmin.

Menurut Shahrin, satu lagi laporan turut diserahkan kepada Sultan Selangor, Yang di-Pertuan Agong dan juga kepada perdana menteri.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan dapat dilihat setakat ini, kata Shahrin.

“Hari ini cukup seminggu dan tiada tindakan daripada perdana menteri, kami rakyat Selangor sungguh kecewa, kita terkilan kerana tiada tindakan diambil oleh perdana menteri.

“Ini isu integriti negara, seorang adun, wakil rakyat, ahli Parlimen, dan negara, memalukan dan mengecewakan kerana tiada tindakan diambil,” katanya.

Seorang bekas pemimpin Pemuda PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai individu dalam video terbabit dan mendakwa Azmin merupakan pasangannya dalam siri rakaman itu.

Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq juga dipecat keanggotaannya daripada parti atas tuduhannya ke atas Azmin.

Beberapa lagi rakaman video seks muncul semula semalam, yang didakwa turut menampilkan Azmin.

Rakaman yang setiap satu sepanjang kira-kira tiga minit itu disebarkan kepada wartawan melalui aplikasi WhatsApp. – 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen