Putrajaya akan hantar nota diplomatik ke Jakarta isu kebakaran hutan


Desmond Davidson

Indeks pencemaran udara pada tengah hari tadi di Kuching pada 140, Samarahan (132), Sri Aman (176), Sibu (224), Miri (142), Sarikei (115) dan Mukah (102). – Gambar The Malaysian Insight, 6 September, 2019.

PUTRAJAYA akan menghantar nota diplomatik ke Jakarta untuk meminta tindakan serta-merta pihak berkuasa Indonesia terhadap kebakaran hutan di Kalimantan dan bagi mengelak berlaku lagi pembakaran terbuka berskala besar.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraaisah Munirah memberitahu media di Kuching hari ini bahawa nota itu sedang dirangka.

Asap dari Kalimantan, dibawa angin barat daya menyebabkan jerebu di kebanyakan kawasan di selatan Sarawak sejak beberapa hari lalu.

Isnaraaisah berkata jerebu yang lintas sempadan menjadi punca utama kepada kualiti udara tidak sihat di Sarawak.

Pada tengah hari ini, tujuh kawasan dikategorikan sebagai kualiti udara tidak sihat dengan indeks pencemaran udara untuk Kuching pada 140, Samarahan (132), Sri Aman (176), Sibu (224), Miri (142), Sarikei (115) dan Mukah (102).

Kualiti udara untuk Mukah “sederhana” pada 8 pagi.

Enam kawasan lagi yang berada dalam zon kualiti udara “sederhana” sedang menuju ke kategori tidak sihat.

Kawasan tersebut ialah Samalaju (72), Bintulu (81), Kapit (64), SK Baram II (73), Limbang (63) dan di Institute Latihan Politeknik Miri ( 82).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata jarak penglihatan antara 1.2 km (Kuching) dan 10km (Kapit).

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat mendedahkan terdapat 81 kebakaran tanah gambut berlaku meliputi kawasan seluas 189.6 ekar tanah dilaporkan setakat tengahari tadi.

Laman web Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) berkata terdapat 459 titik panas dikesan di Borneo petang semalam berbanding 114 hari sebelumnya, dengan majoritinya di Indonesia.

Meliputi kawasan lebih luas termasuk Sumatera, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) semalam turut mengesan 1,393 titik panas di Indonesia – 1,087 di Kalimantan, 306 di Sumatera.

Timbalan menteri itu berkata Malaysia sekali lagi membangkitkan isu jerebu lintas sempadan yang bermula di Indonesia dengan negara jiran Asean itu pada kumpulan kerja teknikal ke-21 dan jawatankuasa pemandu kementerian sub wilayah (MSC) berkenaan pencemaran jerebu lintas sempadan pada 6 Ogos.

Beliau berkata anggota MSC – Brunei, Singapura, Thailand, Malaysia dan Indonesia berjanji untuk bersiap sedia untuk memantau dan mengambil langkah mengurangkan punca jerebu ketika musim kemarau Ogos hingga Oktober.

Katanya, berdasarkan kepada komitmen yang diberikan, “kami percaya semua negara anggota MSC akan memberikan yang terbaik dalam menangani masalah jerebu”.

Secara domestik, Isnaraaisah berkata pihak berkuasa berusaha mencegah pembakaran terbuka dan kertas siasatan dibuka terhadap dua syarikat di Sarawak kerana melanggar larangan itu.

Jika didapati bersalah mengikut Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekitar 1864, syarikat terbabit berdepan hukuman denda RM500,000 atau lima tahun penjara, atau kedua-duanya. – 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen