PEMBAHARUAN Singapura terhadap pelaksanaan hukuman mati terdapat kecacatan, dengan pesalah dadah tahap rendah masih ke tali gantung, kata Amnesty International semalam.
Setelah bertahun berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi, negara tersebut mengurangkan syarat bagi hukuman mati mandatori bagi beberapa kes penyeludupan dadah dan bunuh.
Perubahan tersebut memberi kuasa budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup berbanding hukuman mati.
“Pembaharuan tersebut diperkenalkan pada 2013 adalah satu langkah ke arah yang betul dan memberi peluang kepada beberapa orang daripada tali gantung, tetapi pada peringkat awal mempunyai kecacatan,” kata Chiara Sangiorgio, penasihat hukuman mati Amnesty.
Selepas perubahan itu, hakim boleh menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas pengedar dadah yang memberi kerjasama “substantif” kepada pihak berkuasa ketika penyiasatan.
Bagaimanapun, Amnesty berkata keputusan mengenai siapa yang memenuhi kriteria tersebut terletak di tangan pendakwa raya dan bukan di tangan hakim, dan dibuat secara tertutup dan tidak telus.
Kumpulan itu berkata majoriti yang dihukum mati atas kesalahan dadah dalam tempoh empat tahun lalu memiliki bahan narkotik dalam jumlah yang amat kecil.
“Singapura suka menggambarkan mereka sebagai model yang makmur dan progresif, namun penggunaan hukuman mati menunjukkan pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia,” kata Sangiorgio, mendesak kerajaan menghentikan hukuman mati.
Amnesty berkata terdapat 17 hukuman mati sepanjang tiga tahun lepas atas kesalahan membunuh dan dadah serta 10 banduan menjalani hukuman gantung.
Singapura sekian lama mempertahankan penggunaan hukuman mati sebagai pencegahan jenayah yang berkesan. – AFP, 11 Oktober, 2017.
Komen