PERANCIS dan United Kingdom (UK) semalam mengkritik pengumuman Iran baru-baru ini yang berhasrat mengurangkan tahap pematuhannya di bawah perjanjian nuklear 2015, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua negara.
Cadangan Iran untuk menggantung had penyelidikan dan pembangunan nuklear “amat membimbangkan”, kata Pejabat Luar dan Komanwel UK.
“Langkah ketiga ini yang jauh daripada komitmennya di bawah perjanjian nuklear amat mengecewakan pada ketika kami dan rakan kongsi Eropah serta antarabangsa berusaha keras untuk meredakan ketegangan dengan Iran,” menurut kenyataan itu.
Jurucakap Kementerian Luar Perancis Agnes von der Muhll dalam satu kenyataan berkata Iran “harus mengelak daripada mengambil tindakan konkrit yang tidak mematuhi komitmennya dan mungkin menjejaskan usaha bagi meredakan ketegangan.”
Muhll berkata mereka akan membincangkan pengumuman terbaharu Iran itu dengan rakan kongsi dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Pada Rabu, Presiden Iran Hassan Rouhani berkata negara itu akan mengambil langkah ketiga dalam mengurangkan komitmennya di bawah perjanjian nuklear.
Perjanjian nuklear itu yang dipersetujui Iran, China, Perancis, Jerman, Rusia, UK, AS dan EU memberi kelonggaran kepada Tehran dari segi sekatan yang dikenakan sebagai pertukaran untuk mengehadkan program nuklearnya.
Iran menegaskan bahawa Eropah perlu menyediakan sokongan ekonomi tambahan jika mereka mahu menyelamatkan perjanjian itu selepas AS menarik diri pada Mei 2018 dan mengenakan sekatan ke atas Tehran. – Bernama, 6 September, 2019.
Komen