AS puji India isytihar pemimpin JeM, LeT sebagai pengganas


Holika Dahan, patung pemimpin Jaish-e-Mohammad, Masood Azhar kelihatan di Mumbai, menjelang hari perayaan Hindu Holi, pada Mac lalu. – Gambar fail EPA, 6 September, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) memuji tindakan India mengisytiharkan kumpulan serta pemimpin Jaish-e-Mohammad (JeM) dan Lashkar-e-Taiba (LeT) sebagai pengganas di bawah undang-undang antikeganasan baharu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai AS.

“Kami berdiri bersama-sama India dan memuji negara itu kerana memanfaatkan kuasa perundangan yang baharu untuk berbuat demikian,” kata pemangku pembantu setiausaha negara AS bagi hal ehwal Asia Selatan dan Asia Tengah pada Rabu.

Kerajaan India mengisytiharkan Masood Azhar (pemimpin JeM), Hafiz Saeed (pemimpin LeT) dan timbalannya, Zaki-ur-Rehman Lakhvi serta ketua pergerakan bawah tanah Dawood Ibrahim di bawah Akta Pencegahan Aktiviti-Aktiviti Haram, atau UAPA.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India berkata: “Fasal (a) subseksyen (1) seksyen 35 Akta tersebut memberi kuasa kepada Kerajaan untuk memaklumkan nama seseorang dalam Jadual Keempat Akta, jika beliau dipercayai terlibat dalam keganasan.

Mengikut undang-undang UAPA yang terdahulu, hanya satu kumpulan boleh diisytiharkan sebagai sebuah organisasi pengganas. Bagaimanapun, di bawah pindaan baharu, kerajaan boleh membuat pengisytiharan itu terhadap seorang individu.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga menyatakan lima kes keganasan terhadap Masood Azhar termasuk serangan pada 14 Februari di Pulwama yang menyebabkan 40 anggota Pasukan Polis Rizab Pusat terbunuh. – Bernama, 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen