SYARIKAT fesyen H&M semalam mengumumkan akan menggantung pembelian kulit haiwan dari Brazil sebagai tindak balas kepada kebakaran hutan Amazon yang mendapat bantaha global.
Larangan susulan pengumuman oleh VF Corporation yang memiliki rangkaian jenama Timberland, Vans dan The North Face pada bulan lepas yang tidak akan membeli lagi kulit haiwan dari Brazil atas sebab yang sama.
H&M berkata pembelian akan dibeku sementara sehingga disahkan penggunaan kulit haiwan tidak membahayakan alam sekitar.
“Disebabkan kebakaran teruk di hutan hujan Amazon dan di bahagian Brazil serta berhubung pengeluaran lembu, kami memutuskan untuk mengenakan larangan sementara ke atas bahan kulit dari Brazil,” kata syarikat pakaian dari Sweden itu dalam satu kenyataan.
“Larangan berkuatkuasa sehingga ada jaminan yang mengesahkan kulit tidak membahayakan alam sekitar di Amazon.”
Kebakaran hutan besar-besaran di hutan Amazon mencetuskan perbalahan antara Brazil dan negara-negara Eropah.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menuduh Presiden Brazil Jair Bolsonaro berbohong mengenai komitmennya terhadap perubahan iklim.
Bolsonaro minggu lalu mengeluarkan perintah mengharamkan pembakaran di seluruh negara selama dua bulan.
Pada rundingan iklim PBB tahun lalu, H&M dan beberapa syarikat industri fesyen terkemuka dunia berjanji untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 30% menjelang 2030.
H&M dan 42 syarikat lagi bersetuju untuk mengutamakan bahan mesra alam dan pengangkutan rendah karbon. – AFP, 6 September, 2019.
Komen