Penyanyi rap Nicki Minaj umum bersara


Nicki Minaj semalam mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan bersara dari dunia muzik untuk menumpu perhatian kepada keluarga. – Gambar EPA, 6 September, 2019.

PENYANYI rap Amerika, Nicki Minaj semalam mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan bersara dari dunia muzik untuk menumpu perhatian kepada keluarga.

Nicki, 36, yang terkenal dengan lagu seperti “Super Bass” bertunang dengan seorang eksekutif muzik, Kenneth Petty dan baru-baru ini berkata akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

“Saya sudah ambil keputusan untuk bersara dan bina keluarga,” kata penyanyi yang dibesarkan di Queens, New York, di Twitter.

Berita mengejutkan itu menambahkan kesahihan khabar angin pada Jun bahawa Nicki sedang hamil selepas beliau menolak untuk mengambil minuman keras pada satu rancangan televisyen.

Nicki mengikat tali pertunangan dengan Petty pada Disember 2018.

Hubungan mereka dikritik kerana Petty tersenarai sebagai pesalah seksual di New York dan disabitkan bersalah atas cubaan rogol pada 1995. – AFP, 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen