Pemimpin agama perlu berdoa bersama, kata kumpulan Kristian


Noel Achariam

Jakim harus ingat bahawa setiap kali berlaku sesuatu tragedi pemimpin-pemimpin agama akan bersama-sama menenang dan menzahirkan sokongan kepada rakyat negara ini, kata Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM). – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2019.

PEMIMPIN semua agama harus dibenarkan berdoa bersama-sama untuk menyatukan negara, kata kumpulan Kristian, mengulas arahan sebuah agensi kerajaan yang melarang penganjuran upacara berdoa beramai-ramai.

Mereka berkata penyatuan terutama ketika berdepan krisis adalah perlu untuk menenangkan penganut selain menunjukkan kebaikan agama masing-masing.

“Kalau kita tak boleh sama-sama berdoa bagaimana kita hendak sama-sama bersatu untuk kedamaian?” kata Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) Reverend Herman Shastri.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jakim berkata orang Islam tidak diharuskan menyertai upacara berdoa beramai-ramai secara senyap atau bergilir-gilir melibatkan agama Islam dan bukan Islam.

Orang Islam dilarang membaca doa mereka serentak dengan penganut agama lain yang membaca doa mereka sendiri sebelum majlis bermula atau ketika umat Islam dan bukan Islam bergilir-gilir membaca doa mereka sendiri sebelum majlis bermula, kata Jakim.

Arahan tersebut dikeluarkan berdasarkan keputusan yang dicapai pada dua mesyuarat melibatkan pihak berkuasa agama Islam dan majlis fatwa.

Dua mesyuarat berkenaan adalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali yang ke 74 pada 2006 dan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-113.

Penyatuan terutama ketika berdepan krisis adalah perlu untuk menenangkan penganut selain menunjukkan kebaikan agama masing-masing, kata pemimpin Kristian.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2019.

Menurut Shastri, Jakim harus ingat bahawa setiap kali berlaku sesuatu tragedi pemimpin-pemimpin agama akan bersama-sama menenang dan menzahirkan sokongan kepada rakyat negara ini.

“Jangan lupa kepada tragedi menimpa pesawat MH370 dan MH17 serta tindak balas (pemimpin agama) terhadap keganasan di New Zeland dan Sri Lanka, dan banyak lagi.

“Jakim kena ingat bagaimana rakyat Malaysia dari semua agama berasa tenang apabila pemimpins semua agama sama-sama berdoa dalam banyak upacara,” katanya.

Shastri turut berkata arahan Jakim itu bertentangan dengan trend global.

“Di seluruh dunia kini ada gerakan yang menyeru bahawa setiap agama perlu bekerjasama demi keamanan atas dasar kasih-sayang, ihsan dan keadilan,” kata beliau.

Paderi Dr Eu Hong Seng dari Evangelical Christian Fellowship (NECF) pula berkata setiap pemimpin agama perlu bersama-sama menyatukan rakyat yang pelbagai kaum dan agama.

“Pemimpin agama perlu bersatu jika mahu mengajar dunia tentang kebaikan dan integriti agama masing-masing,” katanya. – 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen