KENYATAAN umat Islam tidak diharuskan untuk berdoa bersama bukan Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak terpakai di Sarawak.
Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, berdoa bersama adalah sebahagian daripada dasar toleransi agama negeri.
“Di Sarawak ini bukanlah satu isu,” katanya mengulas mengenai kenyataan Jakim berhubung keputusan yang dicapai pada dua mesyuarat melibatkan pihak berkuasa agama Islam dan majlis fatwa.
Abdul Rahman berkata bacaan doa Islam pada majlis kerajaan negeri akan diteruskan walaupun dengan kehadiran orang bukan Islam.
Adun Pantai Damai itu juga berkata, lagi pun semua doa mencari kesejahteraan sejagat.
“Kami di Sarawak sentiasa diberi keutamaan untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara kaum dan agama dalam masyarakat berbilang bangsa.”
Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Abdullah Saidol berkata menghalang umat Islam untuk berdoa bersama dengan bukan Islam, walaupun pada acara perpaduan, tidak ada tempat di Sarawak.
Abdullah berkata, walaupun pentadbiran Islam berada di bawah bidang kuasa negeri dan Sarawak tidak perlu mematuhi keputusan Jakim, Sarawak tidak mampu untuk membuat keputusan sedemikian.
“Di dalam semua acara rasmi kerajaan, kita berdoa dan penganut agama lain juga digalakkan untuk membaca doa mereka dengan cara yang tersendiri.
“Ustaz yang membacakan doa, saya tidak pernah mendengar mereka mengatakan bahawa doa mereka hanya untuk orang Islam.
“Tidak ada salahnya jika seorang beragama Islam berdoa untuk kesejahteraan kamu (bukan Islam).
Beliau berkata Gabungan Parti Sarawak tidak boleh memainkan politik dengan kepercayaan rakyat.
“Dalam GPS, politik kami ialah menjadi inklusif. Sarawak mempunyai lebih banyak etnik berbanding negeri lain.
“Ini adalah ciri khas kami. Inklusif bukan eksklusiviti. Di Sarawak tiada tempat untuk perkara seperti ini,” katanya.
“Kami tidak mahu masuk ke dalam budaya politik yang sedang berlaku di Semenanjung dan dipegang oleh parti-parti politik di sana.”
Jakim dalam satu kenyataan semalam berkata ia berdasarkan keputusan yang dicapai pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali yang ke 74 pada 2006 dan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-113.
“Jakim telah memberi pandangan merujuk kepada keputusan mesyuarat MKI dan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang tidak mengharuskan orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai dengan agama lain. – 6 September Ogos, 2019.
Komen