Pensyarah UiTM maut dalam kemalangan motosikal 


SEORANG pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus  Sungai Buloh maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Hospital dekat Kuala Lumpur hari ini.

Noor Izham Ismail, 40, disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Supt Azman Shari’at berkata ketika kejadian yang dilapor pada pukul 8.20 pagi itu, pensyarah yang berasal dari Kajang itu dalam perjalanan ke universiti berkenaan.

“Mangsa disyaki terbabas akibat melanggar tiang lampu jalan lalu terjatuh atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati lokasi kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup dan setakat ini tiada saksi yang tampil membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Bernama, 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen