POLIS menahan tiga lelaki kerana disyaki melakukan samun terhadap seorang jurujual lelaki berusia 21 tahun di Taman Indah Jaya, Lukut di Port Dickson, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua suspek yang berumur 32 hingga 62 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ibu pejabat Polis Daerah Port Dickson, pada pukul 9.05 malam.
“Pada Isnin lepas, mangsa telah pergi ke rumah suspek pada pukul 12 tengah hari bagi membincangkan masalah kewangan syarikat namun semasa di sana, dia telah diikat, ditampar selain barang kemas milik mangsa diambil sebelum dia dilepaskan.
“Susulan itu satu laporan telah dibuat jurujual itu pada hari yang sama pada pukul 2.30 petang,” katanya pada sidang media di Port Dickson, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku telah menampar mangsa untuk membuat pengakuan mengenai penyelewengan wang syarikat, malah dua daripadanya turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek kini direman selama lima hari bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, Aidi Sham berkata tiga remaja lelaki berusia lingkungan 16 hingga 17 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini, 25 Ogos lepas.
Beliau berkata, kesemua suspek dengan dua daripadanya masih bersekolah diberkas di Taman Intan Perdana di sini, pada pukul 5.00 petang dan hasil siasatan mendapati kesemua suspek mencuri 11 buah motosikal dengan 10 daripadanya dilakukan di daerah ini manakala satu di Melaka.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula Isnin lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Bernama, 5 September, 2019.
Komen