10 terbunuh dalam serangan bom Taliban 


Tentera Afghanistan memeriksa lokasi kejadian serangan bom oleh kumpulan Taliban di Shash Darak, Kabul.– Gambar EPA, 5 September, 2019.

SEKURANG-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan bom yang dilancarkan Taliban di Kabul pada Khamis, yang merupakan satu lagi serangan dahsyat di ibu negara Afghanistan ketika kumpulan itu mengadakan rundingan dengan AS untuk keluarkan tenteranya dari negara itu.

Letupan bom kereta itu menggegarkan Shash Darak, sebuah kawasan bersebelahan Zon Hijau yang menempatkan beberapa kompleks kerajaan termasuk perkhidmatan risikan Afghanistan, Direktorat Keselamatan Negara (NDS).

Rakaman serangan berkenaan yang berlaku pada pukul 10.10 pagi waktu tempatan, menunjukkan sebuah van mini meletup sebaik sahaja ia memotong barisan kenderaan SUV putih yang sedang membelok ke kanan jalan raya di kawasan terlibat.

Seorang pejalan kaki berdekatan dilihat cuba melarikan diri kerana van mini itu merempuh penghadang letupan berlaku.

Menurut jurucakap kementerian dalam negeri, Nasrat Rahimi, sekurang-kurangnya 10 orang awam terbunuh dan 42 lagi cedera. 

Namun pengurus kanan Hospital Wazir Akbar Khan, Farid Ahmad Karimi memberitahu AFP, orang awam dan anggota pasukan terlibat terbunuh dalam dan cedera dalam kejadian itu. 

Sementara itu, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid menerusi Twitter mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

Namun masih belum ada sebarang kenyataan daripada gabungan NATO yang diketuai Amerika Syarikat sama ada terdapat tentera asing terlibat. – AFP, 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen