SEBUAH keretapi ekspres dengan kelajuan 120 kilometer sejam merempuh sebuah trak di selatan Tokyo hari ini, mencetuskan kebakaran dan membunuh seorang manakala 30 orang lagi cedera.
Kemalangan itu menyebabkan gerabak depannya terkeluar landasan dan terperosok di dinding, ketika api mula marak dan menyebabkan asap tebal menyelubungi gerabak lainnya yang membawa buah-buahan.
Kesan pertembungan itu memecahkan tingkap depan gerabak dan tiang kuasa elektrik, saksi menggambarkan api marak menjulang dan mencetuskan panik dalam kalangan 500 orang penumpang yang menaiki keretapi itu ketika ia bergerak melintasi Yokohama, selatan Tokyo.
“Pekerja kecemasan menyelamatkan 30 orang yang cedera. Daripada jumlah itu, dua cedera parah. Daripada mereka yang cedera parah, hospital mengesahkan seorang sudah meninggal dunia,” kata Jabatan Bomba kepada wartawan di tempat kejadian.
NHK melaporkan yang pemandu tersepit di bawah gerabak, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada beliau adalah yang terbunuh. Seorang lagi mangsa cedera parah adalah wanita berusia 20-an.
Menurut pengendali keretapi, Keikyu, pemandu sudah menekan brek kecemasan tetapi tidak dapat berhenti sebelum kemalangan.
Syarikat itu sudah melancarkan siasatan kemalangan yang berlaku sebelum tengahari itu.
“Kelajuan maksimum adalah 120 kilometer sejam dan kami percaya keretapi itu bergerak pada kelajuan itu,” kata seorang jurucakap Keikyu yang enggan dinamakan.
“Ada masalah dalam sistem pengesan untuk kecemasan dan kes seperti truk terperangkap di landasan. Sistem itu berfungsi dan loceng kecemasan dibunyikan,” tambahnya.
Keretapi Jepun terkenal dengan sistem keselamatan dan ketepatan waktunya yang sangat cemerlang, kemalangan sangat jarang berlaku.
Awal tahun ini, 14 orang cedera ringan apabila sebuah keretapi tanpa pemandu di Tokyo memasuki landasan salah dan melanggar penghadang.
Pada April 2005, sebuah keretapi laju di Osaka tergelincir daripada landasan dan merempuh sebuah bangunan. Pemandu dan 106 penumpang terbunuh dalam kemalangan itu, 550 orang lagi cedera.
Kemalangan itu adalah yang pertama di Jepun sejak 1963, apabila 163 orang maut di Yokohama selepas keretapi pengangkut barang bertembung dengan sebuah trak dan dilanggar keretapi penumpang.
Kemalangan terburuk Jepun berlaku pada Februari 1947, apabila sebuah keretapi tergelincir di Tokyo, membunuh 184 orang dan mencederakan hampir 500 yang lain. – AFP, 5 September, 2019.
Komen