BEKAS pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin dalam keterangannya hari ini mengakui menerima AS200,000 daripada Low Taek Jho, yang didakwa digunakan sebagai pinjaman penyambung untuk rumahnya di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Jumlah itu yang ketika itu menyamai RM600,000 dipindahkan ke akaun Maybanknya daripada Alsen Chance Holdings Limited yang dimiliki Low.
Amhari memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang wang tersebut digunakan untuk membantunya membeli rumah No.20 berharga RM1.85 juta. Tambahnya, beliau berhasrat melangsaikan hutang pinjaman selepas sebuah lagi rumahnya, No.11 juga di Kota Damansara dijual.
Amhari adalah pegawai khas Najib sejak 2008 sehingga 2014, sebelum menyertai Khazanah Nasional sebagai salah seorang pengarahnya. Beliau dipaksa meletak jawatan selepas Barisan Nasional tewas pilihan raya 9 Mei 2018.
Hari ini, dalam keterangannya, beliau mendedahkan memiliki empat rumah di Petaling Jaya dan Johor, dan sedang dalam proses membeli rumah kelima sebelum hilang pekerjaan selepas pilihan raya.
Beliau, bagaimanapun, menafikan diletakkan dalam situasi berbahaya oleh Low selepas menerima wang sebanyak AS$200,000 untuk membantunya membeli rumah di Kota Damansara.
Apabila disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah, Amhari ditanya mengapa tidak ada perjanjian pinjaman dengan Low.
Shafee: Jho Low letakkan awak dalam situasi tidak menyenangkan?
Amhari: Jho Low orang yang sangat berpengaruh dan sangat rapat dengan Najib. Walaupun Najib tidak tahu mengenainya, Jho Low masih boleh buat perubahan diperlukan kerana dia ada akses.
Shafee: Tetapi, awak setuju yang Jho Low letakkan awak dalam kedudukan tidak menyenangkan?
Amhari: Saya tak setuju.
Shafee: Tolonglah, wang masuk, tetapi Jho Low tak pernah ambil balik?
Amhari: Betul.
Shafee kemudian memetik undang-undang anti pengubahan wang haram yang dipinda pada 2015, yang memerlukan saksi mengisytiharkan jumlah wang diterima, yang dijawab Amhari beliau dimaklumkan Jho Low tidak perlu berbuat demikian.
Dalam perbicaraan SRC International yang juga sedang berlangsung, peguam bela mencadangkan Low memperdaya Najib dengan kerjasama jurubank dan kemungkinan pegawai kanan syarikat itu untuk merompak berbilion duit syarikat itu.
Bagi kes 1MDB, Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan suapan RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram jumlah yang sama.
Ketika sesi soal balas hari ini, Amhari bersetuju dengan cadangan pembelaan yang Low adalah “dalang utama” yang sentiasa mendapat perkara yang dimahukannya.
Amhari juga mengekalkan keterangannya bahawa Low adalah “pemanipulator utama” yang mengenali ramai orang ternama dalam dan luar negara untuk memenuhi hasratnya. – 5 September, 2019.
Komen