5 pencuri ditahan, 41 ekor lembu dirampas


POLIS menahan lima lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian melarikan 58 ekor lembu jantan di sebuah kandang ternakan di Kampung Kendong Baru di Rembau, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam berkata kesemua suspek yang berusia 29 hingga 51 tahun ini ditahan dalam satu operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau bersama Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Kuala Kangsar, Perak pada Selasa lepas.

“Polis turut merampas 41 ekor lembu, empat telefon bimbit dan sebuah kereta Toyota Vios putih. Kesemua suspek kini ditahan reman selama enam hari mulai Selasa lepas bagi membantu siasatan.

“Pihak polis percaya dengan tangkapan ini dan rampasan yang dibuat telah berjaya menyelesaikan kes ini serta melumpuhkan sindiket mencuri haiwan ternakan di Negeri Sembilan dan selatan Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di Rembau, hari ini.

Katanya polis masih mengesan saki-baki suspek yang masih bebas.

Anuar Bakri berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 malam, Jumaat lepas, seorang pemilik ladang ternakan dalam laporannya kepada polis menyatakan tujuh hingga lapan orang suspek bersenjatakan senjata tajam telah ke kandang ternakannya, mengikat dan menutup mata lima pekerjanya serta melarikan sebanyak 58 ekor lembu jantan dengan menggunakan sebuah treler.

“Kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Samun Bersenjata Berkumpulan),” katanya.

Katanya polis sedang mengesan seorang lelaki, Chandran a/l Rajah yang alamat terakhirnya di No.32, Jalan 1/5, Saujana Puchong Seksyen 9, Puchong, Selangor bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Rembau di talian 06-6851999 atau pegawai penyiasat Insp Muhammad Danial Abd Rohim di talian 013-2226085. – Bernama, 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen