SKMM gesa negeri bekerjasama tingkatkan capaian internet


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak, menerusi NFCP, rakyat dapat menikmati capaian internet yang lebih baik dengan liputan luas pada harga berpatutan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 September, 2019.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menggesa semua kerajaan negeri memberi kerjasama penuh bagi meningkatkan capaian internet menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) pada kos yang lebih minima.

Bagi melaksanakan program tersebut, SKMM sudah mengadakan pertemuan dengan semua wakil kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk berbincang lebih lanjut mengenai pelan berkenaan.

Menurut Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak, menerusi NFCP, rakyat dapat menikmati capaian internet yang lebih baik dengan liputan luas pada harga berpatutan.

“Perkhidmatan jalur lebar talian tetap lebih rendah berbanding mudah alih, justeru MCMC harap dapat bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi mewujudkan rangkaian lebih luas di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai hala tuju NFCP yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 19 September ini.

Al-Ishsal berkata, susulan dari pertemuan bersama semua wakil kerajaan negeri, jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh pemimpin negeri seperti Ketua Menteri  Menteri Besar diwujudkan bagi merancang pelan pembangunan telekomunikasi di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini, pertemuan bersama semua pemimpin negeri berjalan lancar dan semua menyatakan sokongan kepada pelan ini. Tetapi sebelum kami berjumpa dengan mereka, satu laporan data mengenai kelemahan dalam sistem telekomunikasi di setiap negeri dibentangkan kepada mereka.

“Jadi, apabila mereka melihat sendiri kelemahan di negeri masing-masing, mereka menjadi teruja untuk memperbaiki kelemahan itu selain memberi kerjasama kepada SKMM dalam menjayakan semua sasaran NFCP,” katanya.

Menurutnya, antara lapan sasaran NFCP adalah meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk sekurang-kurangnya lima kali ganda kepada 98% menjelang 2023 dengan kelajuan minimum 30 megabait sesaat (Mbps) selain capaian jalur lebar 100% premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih.

“Bagi kawasan pinggir bandar dan pedalaman, kami sasarkan 20% daripada kawasan mempunyai kepantasan sehingga 500Mbps menjelang 2022.

“Kami juga meletakkan sasaran kepantasan perkhidmatan internet gigabit untuk kawasan perindustrian strategik dan berimpak tinggi menjelang 2020, serta semua ibu negeri menjelang 2020,” katanya.

Di bawah pelan NFCP, Al-Ishsal berkata, mereka juga mensasarkan pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar 1% Pendapatan Negara Kasar (PNK/GNI) menjelang tahun 2020 dan rangkaian gentian optik meliputi 70% sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos menjelang tahun 2022.

“Kami juga mensasarkan penambahbaikan kepada liputan perkhidmatan mudah alih di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (setelah selesai pembinaan). Meskipun ia sukar namun kami yakin mampu mencapainya dan tidak takut untuk mencuba,” katanya.

Berkaitan dakwaan di media sosial yang kos NFCP telah meningkat dari RM1 bilion ke RM21.6 bilion sejak pengumumannya dibuat dalam Bajet 2019, beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan dengan peruntukan permulaan RM1 bilion.

Peruntukan itu akan digunakan kerajaan untuk membiayai infrastruktur terpilih untuk 2019 bagi menyokong sasaran NFCP, termasuk memperluaskan liputan mudah alih dan menyediakan penyambungan gentian optik ke premis.

“Pelan itu akan membangunkan infrastruktur jalur lebar negara, bagi memastikan peruntukan spektrum lebih cekap bagi mencapai sasaran kelajuan 30 Mbps di kawasan luar bandar dan pendalaman di Malaysia, dalam tempoh lima tahun sebagai sebahagian daripada pelan keseluruhan bagi mencapai infrastruktur berkelas dunia pada harga yang berpatutan.

“Jumlah keseluruhan RM21.6 bilion itu juga merupakan satu anggaran, dan jumlah itu juga boleh berubah apabila NFCP diperbaiki lagi dari semasa ke semasa. 

“Bagaimanapun keutamaan SKMM ialah bagi mencari cara yang berkos efektif dalam membangunkan infrastruktur digital, melalui mengoptimumkan infrastruktur sedia ada, mengelakkan pertindihan, dan manfaatkan dasar yang memudahkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan NFCP akan melibatkan banyak projek infrastruktur, termasuk projek komersial yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri, yang akan memanfaatkan teknologi berbeza.

“Kerajaan ataupun SKMM tidak akan menentukan teknologi mana yang perlu digunakan penyedia, kerana ianya adalah keputusan yang perlu dibuat oleh pemegang lesen,” katanya.

Dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk mempromosikan ekonomi digital di bawah pelaksanaan NFCP.

Pelan itu bertujuan menjelaskan hala tuju strategik bagi pelaksanaan dasar atau inisiatif yang menyokong ekonomi digital dan pada masa sama, mencipta persekitaran kondusif untuk membantu penggunaan teknologi pada masa depan.

Pelaksanaan keseluruhan pelan itu dijangka berlangsung lima tahun sehingga 2023. – 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen