SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedia untuk menyiasat mana-mana kumpulan WhatsApp yang diwujudkan hanya untuk menyebarkan bahan lucah.
Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak, berkata sesiapa yang dimasukkan ke dalam kumpulan terbabit boleh melaporkan terus penyebaran itu kepada SKMM melalui mesej di WhatsApp di talian 016-220 6262.
Katanya, kaedah itu akan membantu mempercepatkan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak bertanggungjawab menyebarkan kandungan sensitif berkenaan.
“Anda boleh mengambil tangkap layar (screenshot) berserta nombor telefon individu yang menyebarkannya bagi tujuan aduan dan hantar ke talian kami.
“SKMM sedia menyiasat semua aduan tanpa mengira individu di sebalik kelakuan itu termasuk orang kenamaan,” katanya di Cyberjaya, hari ini.
Jelasnya, selepas mendapat aduan, SKMM akan menyiasat kumpulan WhatsApp itu bersama-sama polis melalui jawatankuasa bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan, selepas beberapa klip video seks didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Mohamed Azmin Ali disebarkan sekali lagi pagi tadi menerusi kumpulan WhatsApp yang baharu dibentuk.
Lebih 80 nombor telefon, kebanyakannya milik wartawan dan ahli politik dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bernama “Video Terkini Azmin” yang dibuat sekitar jam 3.35 pagi tadi.
Enam klip video berdurasi kira-kira tiga minit dikongsi. Ia kelihatan suntingan terbaru video sama yang dikongsi kepada wartawan pada Jun lalu.
Ahli politik yang ditambah ke dalam kumpulan itu termasuk Menteri Pertahanan Mohammad Sabu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam juga berada dalam kumpulan itu.
Klip video intim suntingan terbaru itu- memaparkan dua lelaki mula disebarkan melalui kaedah sama Jun lalu- adalah penyebaran terbaru ketika skandal itu kian reda.
Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz sudah mengaku salah seorang pelaku video tersebut.
Beliau turut mengheret Azmin, menuduh timbalan presiden PKR itu adalah pelaku kedua.
Azmin menafikan tuduhan itu dan Haziq sudah dipecat daripada PKR. – 5 September, 2019.
Komen