Ahli Parlimen tuntut PM Britain mohon maaf kenyataan Islamofobia


Ahli Parlimen UK menggesa Perdana Menteri Boris Johnson memohon maaf susulan artikel tulisannya pada tahun lepas yang menggelar wanita Islam memakai niqab sebagai 'peti surat' dan 'perompak bank'. – Gambar EPA, 5 September, 2019.

TANMANJEET Dhesi, seorang anggota Parlimen berketurunan Sikh di United Kingdom, yang mewakili kawasan penduduk pelbagai etnik dan agama, menggesa Perdana Menteri Boris Johnson memohon maaf atas kenyataan berbaur Islamofobia beliau pada masa lalu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Johnson menulis satu artikel dalam ruangan biasanya di Daily Telegraph pada tahun lepas semasa beliau memegang jawatan setiausaha luar yang menggelar wanita Islam memakai niqab sebagai “peti surat” dan “perompak bank.”

Komen itu mencetuskan keributan dalam kalangan media namun tiada tindakan diambil atau teguran dibuat oleh Parti Konservatif susulan aduan terhadap Johnson.

Semasa sesi Parlimen yang berlangsung dalam keadaan tegang, Johnson disoal sama ada beliau akan memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan itu yang menyaksikan peningkatan dalam jenayah kebencian berkaitan Islamofobia di jalanan Britain sebanyak 375%.

Johnson menjawab beliau tidak akan memohon maaf.

Seorang jurucakap bagi Majlis Islam Britain berkata “adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila beliau sebagai perdana menteri enggan memohon maaf atas kenyataan melulu dan bersifat mengapi-apikan sedemikian.”

“Hakikatnya ialah Islamofobia adalah satu kebiasaan dalam Parti Konservatif, menurut komuniti Islam, rakan-rakan anggota Konservatif yang kanan dan bukti kukuh, dengan pengundian menunjukkan 60% percaya “Islam pada umumnya adalah satu ancaman kepada tamadun Barat” manakala 43%  “lebih suka jika negara tidak dipimpin oleh seorang yang beragama Islam.” – Bernama, 5 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen