.jpg)
BARU-BARU ini timbul pertikaian tentang data rasmi kemiskinan negara. Ini selepas Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Philipi Alston membuat kenyataan bahawa kemiskinan negara direkod berada pada kadar 0.4% pada 2016 tidak realistik kerana penanda aras yang dipakai rendah.
Daripada tinjauan beliau, kadar kemiskinan sebenar di negara Malaysia berada pada sekitar 15%. Laporan ini dikatakan akan dibentang kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada pertengahan tahun hadapan.
Pandangan balas terhadap kenyataan ini nampaknya bercampur. Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menegaskan kadar kemiskinan ini dikira mengikut piawaian antarabangsa berdasarkan edisi kedua Canberra Group Handbook on Household Income Statistics yang diterbitkan oleh PBB pada 2011.
Kenyataan Azmin ini turut disokong oleh Daim Zainuddin, mantan Menteri Kewangan yang membayangkan data PBB tersebut tidak menyeluruh dan tidak sistematik.
Bagaimanapun, penasihat ekonomi kepada perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid dalam satu tulisannya menegaskan kita perlu menerima laporan PBB ini kerana garis kemiskinan yang dipakai oleh kerana ia telah lapuk.
Beliau yang dikenali banyak membuat kajian mengenai jurang ekonomi dan kemiskinan menjelaskan pengakuan realiti kemiskinan yang ada membolehkan kerajaan mencari penyelesaian sebenar kepada masalah ini.
Ukuran kemiskinan
Meskipun umumnya diakui istilah kemiskinan sarat nilai, beremosi dan subjektif, banyak percubaan untuk menganalisa tentang kemiskinan dibuat secara konsep dan empirikal.
Ukuran mudah sering merujuk kepada pendapatan dan jurang kekayaan. Sejumlah dimensi daripada pelbagai disiplin menyumbang kepada pemahaman isu ini yang ternyata rumit.
Penilaian ahli ekonomi umumnya terbahagi kepada dua kategori iaitu pengesahan secara statik dan objektif menggunakan pendekatan garis pendapatan kemiskinan dan satu lagi memasukkan bukan hanya pendapatan tetapi faktor yang turut menyumbang kepada kualiti asas kehidupan.
Konsep kemiskinan mutlak dan relatif mencerminkan arah tuju teori kemiskinan yang dimajukan oleh ahli-ahli ekonomi. Kajian merentas disiplin bidang meluaskan lagi pemahaman tentang matrik kemiskinan.
Secara umumnya, ahli ekonomi menerima bahawa masalah ukuran kemiskinan berkisar kepada dua isu asas iaitu pembentukan kerangka konsep dan teori yang kukuh dan penggunaan teknik yang sah dan boleh dipertanggungjawabkan dalam pengumpulan dan penyusunan data yang relevan.
Sebelum ini Garis Pendapatan Kemiskinan (GPK) ditetapkan pendapatan satu dolar Amerika sehari bagi setiap isi rumah untuk mengukur tahap kemiskinan. Kadar ini diubahsuai kepada AS$1.25 pada 2008.
Menteri hal ehwal ekonomi menjelaskan kemiskinan ditetapkan pada kadar RM980 di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak lebih tinggi iaitu masing-masing pada kadar RM1,180 dan RM1,020.
Dengan ukuran ini, kemiskinan dalam negara kita dianggarkan berada pada kadar 0.4% pada 2016.
Selain itu, beliau turut menjelaskan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (IKPD) dipakai sebagai pengukur kemiskinan pada skop lebih luas.
Dimensi IKPD meliputi pendidikan, kesihatan, kualiti hidup dan pendapatan. Setiap dimensi ini membawa pemberat indikator yang berbeza dan masing-masing membentuk satu perempat daripada skor penilaian.
Berdasarkan kaedah ini, tahap kemiskinan di negara kita dianggar berada pada kadar 0.9%.
Merdeka daripada kemiskinan
Sebenarnya, Bank Dunia membuat semakan tentang GPK dari semasa ke semasa. Ini kerana kos sara hidup memang berubah dari semasa ke semasa.
Dari semakan yang dibuat, GPK semasa yang dipakai oleh Bank Dunia sejak Oktober 2015 berada pada kadar AS$1.90 bagi seorang dalam satu isi rumah.
Justeru, saya tidak pasti kenapa kita masih menggunakan AS$1.25 sebagai garis kemiskinan. Saya berharap dalam banci penduduk yang akan diadakan nanti, ia akan dibetulkan.
Bagaimanapun, tidak ada gunanya kita bertelagah tentang konsep dan teori yang boleh diterima secara sah di seluruh dunia. Banyak sumbangan dalam bidang kajian berkaitan isu kemiskinan telah dikemukakan.
Saya yakin kombinasi sumbangan ini pasti lebih baik berbanding mana-mana satu konsep atau teori semata-mata.
Saya percaya tema Kemakmuran Bersama yang diangkat oleh kerajaan ketika usul Semakan Semula Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) tahun lalu antara lainnya adalah untuk memastikan kekayaan negara ini dinikmati semua.
Dalam suasana menyambut Bulan Kebangsaan, marilah kita meluaskan wacana kemakmuran bersama. Jadikanlah kejahilan, kemiskinan, kemalasan dan penggunaan masa yang sia-sia sebagai musuh kita bersama. Merdeka! – 5 September, 2019.
* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Pemandu Jaringan Ahli Parlimen Muda Bank Dunia dan pengarah eksekutif Institute for Leadership and Development Studies (LEAD).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen