Lelaki bunuh warga emas dihukum mati di Texas


TEXAS semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang disabitkan bersalah menikam hingga mati seorang wanita warga emas dan anak perempuannya di rumah mereka, merompak kereta dan kad kredit milik mangsa.

Billy Crutsinger, 64, disahkan meninggal dunia pada 6.40 petang waktu tempatan, adalah individu ke-14 dijatuhi hukuman mati di Amerika Syarikat tahun ini, dan yang kelima di Texas.

Beliau dijatuhi hukuman mati pada 2003 kerana membunuh mangsa berusia 89 tahun dan anak perempuannya 71 tahun, yang mengupahnya untuk bekerja di rumah mereka di Fort Worth, Texas.

Crutsinger mencuri kad kredit milik mangsa dan melarikan diri dengan kereta mereka selepas menikam kedua-duanya hingga mati.

Penyiasat kemudian menjejaki Crutsinger apabila beliau menggunakan kad itu untuk membeli minuman keras di sebuah bar di Galveston, Texas.

Crutsinger mengaku salah dan bersetuju untuk sampel DNA diambil.

Ketika perbicaraan peguam Crutsinger berkata anak guamnya seorang penagih minuman alkohol dan bermasalah sejak kematian tiga anaknya dan ahli keluarganya yang lain, dan boleh menjadi ganas ketika di bawah pengaruh alkohol.

Rayuannya untuk mengelak hukuman mati ditolak. – AFP, 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen