ANGGOTA penyelamat berjaya menemui 33 mayat daripada insiden bot penyelam skuba di pantai California, kata pihak berkuasa pada Rabu, sambil menambah seorang lagi masih hilang.
Operasi mencari mangsa terselamat digantung pada pagi Selasa, dan penyelamat memulakan operasi mengeluarkan mayat masih terperangkap dalam bangkai kapal, yang tenggelam 66 kaki (20 meter), dan bagi menentukan punca bencana tersebut.
Mayat 11 wanita dan sembilan lelaki ditemui selepas bot Conception terbakar dan tenggelam pada awal Isnin, memerangkap penumpang di bawah dek.
Penyelam mengeluarkan 13 mayat lain, menurut jabatan sheriff Santa Barbara County, yang bertanggungjawab terhadap siasatan.
Semua mayat dibawa ke pejabat koroner bagi pengesahan ujian DNA. Pihak berkuasa belum mengeluarkan butiran mengenai identiti mana-mana mangsa.
Bot malang itu berlayar sekitar pulau Santa Cruz, barat Santa Barbara di selatan California.
Seramai 39 orang - enam anak kapal dan 33 penumpang - berada di atas bot, kata para pegawai.
Lima anggota krew terjaga dan terjun ke dalam air apabila api marak sekitar jam 3.15 pagi Isnin.
Baki 34 orang yang berada di atas kapal, sedang tidur terperangkap dalam kebakaran.
Api yang marak menyukarkan bomba menaiki bot, yang tenggelam ketika mereka cuba memadamkan api. Punca kejadian masih tidak diketahui.
Laman web Truth Aquatics, yang memiliki bot berkenaan berkata ia dijadualkan kembali pada Isnin selepas perjalanan tiga hari melawat beberapa tempat menyelam di sekitar Pulau Santa Cruz. – AFP, 5 September, 2019.
Komen