RoS akan uruskan parti politik terlibat salah laku, kata Muhyiddin 


Yeoh Cheong Ee

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata tuduhan salah laku terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik akan diuruskan oleh RoS.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 September Ogos, 2019.

PENDAFTAR Pertubuhan (RoS) akan mengambil tindakan terhadap parti politik atau pertubuhan yang melanggar perlembagaan parti atau undang-undang, kata Muhyiddin Yassin.

Menteri dalam negeri berkata, tuduhan salah laku terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik akan diuruskan oleh RoS.

“RoS akan melihat kepada laporan dari setiap aspek perundangan; sekiranya sesebuah organisasi atau pertubuhan melanggar perlembagaan atau peraturannya sendiri.

“Selepas itu RoS akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Dong Zong Johor di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad minggu lalu, yang mana perdana menteri mempersoalkan mengapa pihak berkuasa masih belum menjalankan siasatan terhadap salah laku yang dilakukan oleh Umno.

Beliau berkata, ianya membingungkan bahawa walaupun Umno didakwa melakukan kesalahan, tiada tindakan diambil terhadap parti itu.

Dr Mahathir berkata, ketika beliau menjadi presiden Umno, parti itu pernah diharamkan apabila tiga cawangannya gagal mengadakan mesyuarat.

“Bersatu juga diharamkam sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 tahun lalu. Umno telah melakukan beberapa kesalahan, dan sehingga kini..masih belum dibubarkan.

“Saya menggesa tindakan diambil terhadap parti itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu minggu lalu. – 4 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen