Kru kapal tangki minyak British dibebaskan


BEBERAPA kru kapal tangki minyak British yang dirampas telah dibebaskan, kata jurucakap Kementerian Luar Iran pada Rabu lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan. 

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah kru yang terlibat namun, menurut saluran televisyen Iran seramai tujuh kru dibebaskan.

Pada 20 Julai, kapal tangki British Stena Impero dirampas oleh Kor Pengawal Revolusi Iran.

Menurut Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt, kapal tangki itu dikepung empat kapal dan sebuah helikopter sebelum diarahkan belayar menuju ke perairan Iran.

Walaupun kapal itu milik United Kingdom (UK), tiada seorang pun daripada 23 kru merupakan warga British.

UK telah menghantar kapal perang kedua ke Teluk Parsi untuk menyokong pasukan British di rantau ini dan memastikan keselamatan kapal dagang negara British. – Bernama, 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen