Cameroon hantar kontinjen keenam sertai misi pengaman PBB


Cameroon semalam menghantar kontinjen keenamnya bagi menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Afrika Tengah (CAR). – Gambar EPA, 4 September, 2019.

CAMEROON semalam menghantar kontinjen keenamnya bagi menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Afrika Tengah (CAR), lapor agensi berita Xinhua. 

Bercakap pada majlis meraikan kontinjen berkenaan di ibu kota, Yaounde, Menteri Pertahanan Joseph Beti Assomo berkongsi mengenai usaha yang dilakukan pasukan tentera Cameroon di CAR.

“Sentiasa bertekad memenuhi komitmen serantau dan antarabangsa, anggota tentera membantu CAR membina semula institusinya selepas beberapa tahun terjejas,” kata Assomo.

Menurut Assomo, kontinjen keenam itu terdiri 750 tentera dan 350 anggota gendarmerie. 

Kontinjen berkenaan adalah sebahagian daripada Misi Penstabilan Multidimensi Bersepadu di Republik Afrika Tengah (MINUSCA) di bawah PBB bermula pada 2014 untuk melindungi orang awam CAR di bawah Piagam PBB.

Konflik bermula pada 2013 itu masih berlarutan berikutan rampasan kuasa oleh kumpulan bersenjata Seleka. – Bernama, 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen