Lesen senjata api tidak boleh diwarisi, kata polis


PEMEGANG lesen senjata api di daerah ini diingatkan supaya membuat permohonan pindahan milik sekiranya mereka telah melebihi had umur yang ditetapkan.

“Senjata api bukan warisan yang boleh diserahkan kepada mana-mana waris, jadi kemuka permohonan pindah hak milik,” kata Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin.

Beliau berkata sehingga kini 141 individu diberi lesen senjata api di daerah ini termasuk 80 anggota Jabatan Sukarelawan dan selebihnya orang awam.

Bercakap kepada pemberita selepas Program dialog bersama Ketua Polis Daerah sempena Penyerahan Kad Lesen Senjata Api Awam dan Jabatan Sukarelawan Daerah Jeli hari ini beliau berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan pemilik lesen senjata api di daerah ini yang gagal mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan.

Ahmad berkata antara syarat pemilikan yang perlu dipatuhi termasuk sihat tubuh badan dan tidak melebihi had umur yang ditetapkan.

Beliau berkata walaupun sehingga kini belum ada pemegang lesen yang melanggar syarat ditetapkan namun pihak polis sentiasa memandang serius isu syarat dan peraturan ini.

Ahmad berkata kebanyakan pemegang lesen senjata api di daerah ini terdiri daripada pemilik kebun yang menggunakan senjata api berkenaan untuk menghalau musuh tanaman terutamanya haiwan liar.

“Bagaimanapun jika melibatkan gangguan gajah, kes berkenaan hendaklah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pemegang lesen tidak boleh bertindak sendiri,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan pertemuan dengan pemilik senjata api untuk memberikan peringatan supaya lesen mereka tidak disalahgunakan. – Bernama, 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen