INDONESIA menghantar ratusan kontena berisi sampah ke negara asal, menurut agensi kastam, berikutan negara Asia Tenggara menolak untuk menjadi tempat pelupusan sampah dari negara luar.
Kira-kira 250 kontena yang dirampas di kepulauan itu sejak beberapa bulan lalu telah dikembalikan ke negara asal dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan pemeriksaan ke atas 1,000 kontena, menurut pegawai kastam.
Antaranya, 49 buah kontena yang dirampas di Pulau Batam berhampiran Singapura telah dihantar semula ke Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Hong Kong dan Australia, kata jurucakap agensi berkenaan, Deni Surjantoro.
Penghantaran itu penuh dengan gabungan sampah, bahan buangan plastik serta bahan buangan bahaya yang melanggar peraturan import.
“Bahan import tidak boleh dicemari dengan bahan toksik atau bahaya,” katanya.
Hampir 200 kontena telah dihantar keluar dari Surabaya, Indonesia yang merupakan bandar kedua terbesar di negara itu, ke AS, Britain dan Jerman, menurut data kastam.
Sementara itu, pihak berkuasa di Jakarta bersedia untuk menghantar kembali 150 kontena manakala 1,000 kontena lagi sedang diperiksa yang mungkin mengandungi bahan terlarang, kata Surjantoro.
Indonesia memperketatkan pengawasan terhadap sampah asing berikutan pengimportannya yang berleluasa.
Sebahagian besar bahan buangan dihantar ke negara Asia Tenggara selepas China yang sebelum ini menerima bahan buangan plastik dari seluruh dunia tidak lagi menerimanya sejak tahun lalu dalam usaha untuk membersihkan alam sekitarnya. – AFP, 4 September, 2019.
Komen