PERTUBUHAN kemanusiaan Turki dan Rusia pada Selasa menandatangani perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dalam misi bantuan, khususnya di wilayah Idlib Syria, lapor agensi berita Anadolu.
Memorandum persefahaman itu ditandatangani Presiden Bulan Sabit Merah Turki (Kizilay) Kerem Kinik dan Presiden Persatuan Palang Merah Rusia Raise Lukuttsova dalam majlis yang berlangsung di Istanbul.
Ketika ditemui pemberita, Kinik berkata Kizilay akan berkongsi pengalamannya dalam menguruskan krisis migran di Turki dan beberapa negara lain di dunia.
Beliau berkata kedua-dua pertubuhan itu akan mewujudkan pasukan petugas dalam pelbagai bidang termasuk bank darah dan persiapan menghadapi bencana.
Sementara itu, Lukuttsova berkata penting untuk mengukuhkan kerjasama antara Rusia dan Turki.
“Kesepakatan dengan Bulan Sabit Merah Turki sangat penting terutama dalam situasi sekarang,” katanya.
“Hari ini adalah hari bersejarah, perjanjian antara dua negara itu memberikan makna sangat besar,” katanya. – Bernama, 4 September, 2019.
Komen