RIBUT tropika Podul melanda 26 wilayah di Thailand, mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand, Chayapol Thitisak berkata ribut tropika Podul melanda negara itu sejak 29 Ogos hingga 2 September, menyebabkan 60,914 keluarga terjejas.
“Dua orang masih hilang di Amnat Charoen manakala seorang tercedera di Chaiyaphum,” katanya dalam satu kenyataan di Bangkok, hari ini.
Dilaporkan empat kematian direkodkan di Amnat Charoen, tiga di Khon Kaen, Roi-Et dan Phichit (dua masing-masing), Ubon Ratchathani, Phitsanulok dan Mukdahan (satu masing-masing).
Chayapol berkata banjir pula menyebabkan kerosakan kepada 3,818 rumah, 264 sekolah dan institusi, 57 hospital dan klinik.
Beliau berkata kira-kira 105, 952 hektar ladang pertanian, termasuk tanaman padi, hortikultur dan ladang tanaman lain rosak manakala 675,586 ternakan juga terjejas.
Ribut tropika Podul melanda 13 wilayah di timur laut – Amnat Charoen, Nakhon Phanom, Roi-Et, Maha Sarakham, Ubon Ratchathani, Khon Kaen, Nong Bua Lamphu, Yasothorn, Kalasin, Chaiyaphum, Mukdahan, Surin dan Udon Thani.
Ia juga melanda lapan wilayah di utara – Phrea, Chiang Mai, Phetchabun, Nan, Uttradit, Pitsanulok, Pijit dan Mae Hong Son, tiga wilayah di selatan - Krabi, Ranong dan Chumporn, dua di timur – Trat dan Prachinburi.
“Sehingga kini, tujuh wilayah masih terjejas oleh banjir termasuk Khon Kaen, Pitsanulok, Pijit, Amant Charoen, Ubon Ratchathani, Roi-Et dan Yasothorn. Seramai 1,118 penduduk dipindahkan berikutan banjir,” kata beliau.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand berkata satu lagi ribut tropika Kajiki sedang bergerak menuju Thailand dan dijangka akan menyebabkan hujan lebat dan ribut petir terutama di timur laut Thailand. Pihak berkuasa bimbang Kajiki akan memburukkan lagi keadaan anjir, terutama di timur laut. – Bernama, 4 September, 2019.
Komen