Mahkamah benar lucut hak RM4.9 juta daripada Yayasan Permata


Bede Hong Timothy Achariam

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lucut hak RM4.9 juta berkaitan 1MDB daripada dana pendidikan kanak-kanak, Yayasan Permata Malaysia.

Peguam Noraisah Spahat, mewakili yayasan berkenaan yang kini ditukar nama kepada Yayasan Genius, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ia memutuskan untuk tidak mencabar permohonan pelucuthakan kerajaan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan arahan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada mahkamah tiada pihak ketiga tampil menuntut dana itu.

Tiada tuntutan pihak ketiga juga dibuat untuk mencabar permohonan pelucuthakan terhadap bekas menteri Kabinet Gaditah Gaddam, Umno Johor, ahli perniagaan Sarawak Bustari Yusof, Umno Selangor, Parti Demokrat Liberal Sabah, Jakel Trading Sdn Bhd, Media Edge CIA Sdn Bhd dan Yayasan PBAKM.

Sequerah menetapkan tarikh pendengaran seperti berikut: 10 September bagi Kasitah; 4 Oktober bagi Umno Johor dan Bustari; 18 Oktober (Umno Selangor dan LDP); 25 Oktober (Jakel); 1 November (Media Edge) dan 8 November bagi Yayasan PBAKM.

Dana yang menjadi pertikaian adalah sebahagian daripada RM270 juta yang SPRM cuba dapatkan semula daripada 41 individu dan organisasi berhubung dana yang didakwa disalurkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.

SPRM memfailkan permohonan pelucuthakan sivil pada Jun untuk mendapatkan RM270 juta wang 1MDB yang dipindahkan ke akaun Najib dan kemudian kepada 41 individu serta entiti. – 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen