AS sekat program angkasa lepas Iran


Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mendakwa Tehran menggunakan program peluncuran angkasa lepas bagi membangunkan peluru berpandu balistik. – Gambar EPA, 4 September, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) pada Selasa mengenakan sekatan baharu ke atas program angkasa lepas Iran selepas mendakwa Tehran membangunkan peluru berpandu balistik dengan bertopengkan program itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Setiausaha Negara Mike Pampeo.

Sekatan itu, yang dikenakan buat pertama kali ke atas agensi angkasa lepas awam Iran, diumumkan oleh Jabatan Negara dan Perbendaharaan AS.

“Hari ini, Jabatan Negara meletakkan Agensi Angkasa Lepas Iran dan dua institut penyelidikannya di bawah Arahan Eksekutif 13382 kerana terlibat dalam aktiviti-aktiviti percambahan yang sensitif,” kata Pompeo dalam kenyataan itu.

“AS tidak akan membenarkan Iran menggunakan program peluncuran angkasa lepas sebagai topeng untuk memajukan program peluru berpandu balistiknya,” kata Pompeo sambil menambah bahawa percubaan Iran pada 29 Ogos untuk membangunkan sebuah kenderaan peluncuran angkasa lepas “menekankan betapa pentingnya ancaman itu.”

Beliau memberi amaran kepada komuniti saintifik antarabangsa bahawa berkolaborasi dengan program angkasa lepas Iran “boleh menyumbang kepada keupayaan Tehran untuk membangunkan sistem penyampaian senjata nuklear.” – Bernama, 4 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen