Apa pelan alternatif Pakatan tolak umur bersara 65 tahun, tanya MTUC


DR Mahathir Mohamad sepatutnya mengemukakan pelan alternatif kerajaan selepas beliau menolak cadangan agar umur bersara wajib dinaikkan kepada 65 tahun, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata cadangan itu tidak wajar ditolak begitu saja.

“Kami kesal kerana Dr Mahathir bingkas menolak cadangan itu namun tidak menawarkan formula Pakatan Harapan sendiri untuk pekerja menangani isu gaji rendah, termasuk gaji minimum yang tidak mencukupi, kos sara hidup yang semakin meningkat dan simpanan KWSP yang tidak mencukupi untuk survival pesara,” kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini.

Solomon berkata MTUC tidak setuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa umur bersara yang dinaikkan akan menyekat peluang golongan belia dan memburukkan masalah pekerja malas dan tidak berguna.

“Hujah itu tidak lojik kerana hakikatnya ramai pekerja, walaupun dalam usia lanjut, mempunyai pengalaman dan rajin bekerja.

“Memang ada yang malas dan tidak berguna tetapi pekerja sedemikian juga wujud di kalangan yang muda. Malas adalah sikap dan bukannya sinonim dengan usia,” katanya.

Pada Sabtu lepas, MTUC menggesa kerajaan meningkatkan umur bersara wajib kepada 65 tahun seperti yang dilaksanakan di beberapa negara maju.

Cadangan itu bagaimanapun awalnya dibantah oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda dan bukan menyekatnya. – 4 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen