-2.jpg)
DR Ridhuan Tee Abdullah dengan beraninya mencabar saya untuk berdebat melalui artikelnya “Kalau berani, tutup mulut saya kalau tak mahu tampar” yang tersiar pada 22 Ogos di portal berbahasa Melayu, Ismaweb.net.
Saya tidak mahu diperangkap oleh Ridhuan atau Isma dalam polemik yang mengaitkan isu bangsa dan agama kerana sejarah perjuangan pasukan keselamatan kita telah termaktub dengan jelas. Bagaimanapun saya ingin menjawab beberapa tuduhan sinis dan jahat.
Lebih kurang dua minggu yang lalu perhatian kami ditarik terhadap sebuah artikel yang ditulis oleh Ridhuan (di portal Isma) yang mengecam Presiden Patriot Mohd Arshad Raji.
Ridhuan mengarahkan Arshad bersara dan berdiam diri dan tidak mengampu kerajaan semata-mata untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan PH. Beliau juga menyatakan bahawa Arshad tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan pegawai waran Kanang anak Langkau.
Satu kenyataan media kami keluarkan bagi mempertahankan imej Arshad di samping membetulkan fakta salah yang ditulis oleh Ridhuan mengenai peristiwa Gunung Korbu yang saya sendiri terlibat secara peribadi.
Kedua–dua orang Arshad dan pahlawan negara Kanang berkhidmat dengan cemerlang kepada raja dan negara. Kanang diberi pengiktirafan atas keberanian beliau.
Sementara Arshad mengharumkan nama Malaysia dengan dilantik sebagai pemerintah Kontinjen Malaysia untuk berkhidmat dengan Pasukan Pengaman PBB di Kemboja pada 1992/93. Beliau berkhidmat dengan cemerlang dan diberikan surat penghargaan oleh PBB dan juga Raja Kemboja.
Perbandingan antara Arshad dan Kanang yang dibuat oleh Ridhuan berdasarkan dua kriteria yang berbeza. Ridhuan sepatutnya membandingkan dirinya sendiri dengan Arshad.
Pihak tentera beroperasi sebagai satu pasukan yang padu yang menggembleng tenaga semua anggota terdiri dari pasukan tempur, unit bantuan dan juga unit perkhidmatan termasuk tentera laut dan udara.
Dengan memperlekehkan Arshad, Ridhuan juga memperkecilkan khidmat bakti anggota-anggota ini yang dicurahkan dengan penuh rasa tanggungjawab.
Ridhuan perlu membuktikan kewibawaannya sebelum beliau mencabar saya untuk berdebat. Hasil penulisan saya berkaitan penyakit kardiovaskular tersiar dalam jurnal-jurnal berwasit antarabangsa. Semuanya hasil titik peluh dan penyelidikan yang jujur dan bukan diplagiat.
Dalam hal ini saya ingin bertanya Ridhuan sudah berapa banyak penulisan beliau yang tersiar di jurnal berwasit antarabangsa? Ridhuan sebaliknya dituduh memplagiat penulisan pensyarah UTM Airil Yasreen Mohd Yassin dalam satu aktiviti akademik pada 2010.
Tuduhan ini dibuat oleh YB Teresa Kok dan Senator Ariffin Omar berkaitan dengan peperiksaan PTK yang diduduki beliau (Mkini 21 November, 2013). Ridhuan dengan ini dicabar untuk membuktikan tuduhan itu tidak berasas.
Ridhuan juga dengan sinis menggesa saya untuk mempelajari Bahasa Malaysia daripadanya. Saya ingin menasihatinya untuk belajar membuat rujukan akademik dengan betul, mengelakkan bahasa yang retorik dan berat sebelah; dan meneliti segala pendapat dari semua sudut secara objektif.
Ridhuan juga menggelar saya sebagai “ultra kiasu”. Saya tidak mengerti apa yang dimaksudkannya. Saya juga sering menggunakan perkataan tersebut tetapi hanya kepada kawan-kawan rapat dengan niat yang baik bagi memuji daya saing mereka yang tinggi.
Ridhuan juga menggunakan perkataan “komunis” bagi mengecam dan menuduh saya. Beliau bertanya, “Atau mungkin kamu masih berperangai macam komunis?”. Dalam hal ini saya sedang mendapatkan nasihat daripada peguam saya dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya wajar.
Ridhuan juga membandingkan saya dengan pahlawan negara, Kanang. Beliau menyatakan Kanang menerima pingat keberanian dan anugerah negara dan bertanya apakah pula anugerah yang saya terima.
Ridhuan mungkin tidak tahu peristiwa Gunung Korbu yang beliau nyatakan adalah operasi khas rahsia yang dirancang berbulan lebih awal. Peristiwa berlaku pada 1 Jun, 1979 (dan bukannya pada 19 Februari, 1980 sebagaimana yang didakwa Ridhuan). Pada masa itu saya berpangkat Lt Muda.
Sebulan sebelum kejadian, pegawai memerintah saya Lt Kol CA Tony Loone mengarahkan saya mengetuai satu pasukan seramai 10 orang yang dianggotai oleh pengesan tempur yang terbaik di batalion 8 Renjer untuk satu operasi khas bagi mengesan khemah musuh.
Ketua polis negeri pada masa tersebut Yuen Yuet Leng mengarahkan untuk seorang ketua platun yang berwibawa ditugaskan untuk operasi ini. Saya dipilih oleh Lt Kol Loone dan lantas memulakan latihan dengan anggota yang terpilih.
Seminggu sebelum peristiwa berlaku, Kol Loone membawa saya menghadap ketua polis negeri untuk menerima arahan secara terus daripada beliau sendiri. Beliau tidak mahu operasi tersebut gagal kerana maklumat yang diterima adalah maklumat A1, satu maklumat yang ketepatannya dan kepastiannya sudah disahkan.
Saya juga diarahkan untuk berhati-hati terhadap bahaya jerangkap samar. Arahan yang diberikan kepada saya adalah untuk bergerak secara taktikal mengesan khemah tersebut. Bagi tujuan ini saya juga berikan seorang bekas pengganas komunis yang ditangkap untuk membantu pandu arah pengesanan.
Satu kompeni yang diketuai oleh Kapt Othman Hamid diarah untuk mengekori kami dari belakang, siap untuk menyerang sebaik-baik saja khemah musuh dikesan.
Tugas yang diberikan kepada kami satu tugas berisiko tinggi kerana pihak musuh menyiapkan pertahanan yang diperkukuhkan dengan jerangkap samar. Selepas menerima arahan daripada Yuen, saya secara mental mempersiapkan diri untuk menerima kemungkinan kaki saya putus akibat jerangkap samar.
Saya memesan kepada ketua kompeni saya Mej Kartar Singh supaya tidak memberitahu ibu bapa saya sekiranya saya kehilangan kaki akibat jerangkap samar. Sebaliknya saya akan memaklumkan ini kepada mereka apabila saya selesai menerima rawatan.
Pasukan saya dan kompeni yang diketuai oleh Kapt Othman memasuki kawasan operasi secara rahsia pada malam hari, dan mengambil masa selama tiga hari sebelum sampai ke kawasan musuh disyaki.
Dua hari sebelum tarikh 1 Jun sebelum lokasi sebenar khemah musuh dijumpai, kami terserempak dengan kumpulan tinjauan musuh dan berlaku pertempuran pendek. Tembakan artileri dibuat untuk menyekat laluan lari musuh.
Malangnya, kehadiran kami disedari musuh dan operasi tersebut diubah dari tugas mengesan kepada tugas memburu.
Dipendekkan cerita, pada 1 Jun, 1979 lebih kurang jam 2 petang, kumpulan kami yang diketuai oleh Kapt Othman berjaya merapatkan diri dengan kumpulan musuh yang berundur. Semasa itu kami berada dalam kesejukan akibat hujan dan suhu dingin di pergunungan.
Kapt Othman memanggil semua pegawai dan memberikan arahan ringkas untuk melakukan serangan.
Platun yang diketuai oleh LtM Govindaraj Kanappan diarah untuk menjadi kumpulan penyekat di sebelah kiri sementara platun LtM Mohana Kumaran menjadi kumpulan penyekat di sebelah kanan.
Platun yang diketuai oleh Lt Rajiee Mahmood pula ditugaskan sebagai kumpulan penyekat di sebelah hujung. Kapt Othman pada mulanya mahukan kumpulan saya menjadi salah satu kumpulan penyekat kerana kami begitu keletihan, baik daripada segi fizikal mahu pun mental ekoran menjalankan tugas mengesan sebelum ini.
Saya bagaimanapun memohon untuk menyertai kumpulan penyerang (satu tugas yang lebih berbahaya). Kapt Othman meluluskan permohonan saya dan mengarahkan saya mengetuai kumpulan penyerang kanan sementara beliau sendiri mengetuai kumpulan penyerang kiri.
Pada 3 petang Koperal Michael Riman melepaskan tembakan mesin gun beliau untuk memulakan serangan ke atas tempat rehat musuh. Ini mengejutkan mereka. Sementara itu kesemua kami dalam kumpulan penyerang bergerak dalam satu barisan sambil mara melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pihak musuh dengan senjata M16 kami.
Pihak musuh membalas dengan serangan bertubi-tubi. Pertempuran berlangsung selama 45 minit.
Dalam pertempuran tersebut satu serpihan bom tangan menikam masuk betis saya. Koperal Michael mengalami kecederaan parah pada tangan kanannya akibat tembakan musuh. Pihak musuh akhirnya berundur. Platun LtM Govindaraj lantas memburu musuh yang lari.
Semasa pemburuan tersebut beliau menjumpai kesan darah yang berakhir dengan satu lagi pertempuran. Walaupun cedera saya terus mengetuai operasi pembersihan untuk mencari musuh yang tertinggal. Pihak musuh meninggalkan tiga mayat anggota dan 25 beg galas besar.
Sementara itu platun LtM Govindaraj semasa membuat pemburuan berjaya membunuh dua musuh lagi. Pada keseluruhannya kami berjaya membunuh lima musuh. Kami juga kehilangan dua anggota, Renjer Ramlee dan Renjer Baharuddin.
Sehingga kini, memori kedua-dua rakan seperjuangan ini kekal di nubari saya. Pada keesokan harinya Michael dan saya diterbangkan keluar untuk menerima rawatan, bersama dengan mayat dua rakan yang terkorban dan lima musuh yang dibunuh.
Kisah yang diutarakan ini kisah sebenar peristiwa 1 Jun, 1979 yang berlaku di Gunung Korbu tanpa ditokok tambah. Ia berbeza dengan apa yang ditulis oleh Ridhuan semasa dia melecehkan Arshad.
Keseluruhan pasukan kami yang terdiri dari Batalion ke-8 Rejimen Renjer dan satu platun dari Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja berjuang dengan tabah dan berani.
Laporan perisikan yang diterima selepas kejadian ini kemudiannya mengesahkan lebih ramai lagi musuh terbunuh. Ini selaras dengan fakta yang kami terpaksa bertempur dengan mereka selama 45 minit, satu tanda yang menunjukkan mereka terpaksa bertahan untuk menyelamatkan rakan mereka yang tercedera atau terbunuh.
Tempoh pertempuran ini merupakan satu tempoh agak panjang (sepanjang pengetahuan saya) dalam sebarang pertempuran operasi mencari dan memusnahkan dalam sejarah Darurat Kedua (1968-1989).
Beberapa minggu selepas peristiwa ini berlaku, Kol Loone memanggil saya untuk mendapatkan laporan saya mengenai prestasi anggota yang terlibat dalam pertempuran.
Saya memaklumkan kepada beliau tentang keberanian yang ditunjukkan oleh Sjn Kanang, Kpl Michael, anggota perubatan Kpl Abang Bolhi, Kpl Ambrose anak Uning, Kpl Awang Omar Awang Tengah, LKpl Mathew Wan, LKpl Raja Gopal Supramaniam, LKpl Lai Chun Min dan anggota yang lain.
Dalam kalangan pegawai, mereka menunjukkan sifat kepemimpinan yang jitu dan memimpin anggota masing-masing untuk berjuang dengan gigih dan berani. Etika, keikhlasan dan kewibawaan merupakan pegangan perjuangan kami di kalangan pegawai.
Bagi kami, menentukan keselamatan dan kebajikan anggota adalah lebih utama daripada segala pengurniaan dan pujian yang diberikan, tidak seperti segelintir ahli akademik yang sanggup memutar-belitkan fakta semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan dan sanjungan.
Pingat keberanian yang dikurniakan kepada Kanang dan Michael sudah cukup untuk membuatkan kami semua berasa bangga.
Merujuk kepada soalan Ridhuan tentang apakah anugerah yang saya terima; saya dengan ikhlas merasa amat syukur kepada Yang Maha Esa kerana dengan kurniaNya saya selamat dari bahana jerangkap samar dan masih bernafas sehingga sekarang. Bagi saya anugerah tersebut sudah mencukupi.
Pihak musuh juga menghadiahkan saya secebis serpihan bom tangan yang sehingga sekarang masih tertanam dalam daging kaki saya. Pengalaman menghadapi maut saya di Gunung Korbu serta pengalaman operasi saya yang mana beberapa kali terlepas dari bahana jerangkap samar mengajar saya untuk tidak bersifat bongkak dan sentiasa merendah diri.
Tajuk laporan berita yang mengandungi ayat “kalau tak mahu tampar” adalah bersifat agresif dan tidak sopan. Orang sebegini biasanya akan kaku dan terkencing di dalam seluar sekiranya berhadapan dengan tembakan musuh atau terpaksa merentasi medan jerangkap samar.
Ridhuan perlu mencerminkan diri sendiri sebelum membuat sebarang kenyataan. Dalam hal ini dia berhadapan dengan seorang pejuang yang pernah berhadapan dengan maut, masih berdiri dengan megah dan masih bersedia untuk berkhidmat untuk negara.
Saya tidak ingin berdebat terutama mengenai isu ketenteraan dengan seorang yang tidak pernah walau sehari pun berkhidmat dengan angkatan tentera. Sudah banyak masa saya terbuang, yang sepatutnya saya tumpukan kepada perkara yang lebih berfaedah.
Terima kasih dan salam, Dr Ridhuan Tee Abdullah. – 4 September, 2019.
* Kapten Dr Wong Ang Peng (B) ialah pengarah komunikasi Patriot.
Komen