OPERASI mencari mangsa terselamat insiden bot penyelam terbakar dan karam di pantai California dihentikan semalam selepas 20 mayat berjaya dibawa keluar dan empat hingga enam mayat lagi ditemui terperangkap dalam bangkai kapal di dasar laut.
Mayat 11 wanita dan sembilan lelaki dihantar ke pejabat koroner selepas kapal Conception sepanjang 23 meter terbakar dan karam pada Isnin, menyebabkan penumpang di dek bawah terperangkap.
“Hari ini kita akan mulakan proses profil DNA 20 mangsa yang dibawa keluar setakat ini, supaya ia dapat dibandingkan dengan sampel keluarga,” kata Sherif Santa Barbara Bill Brown pada sidang media.
Bot itu dalam aktiviti menyelam sekitar pulau Santa Cruz, barat Santa Barbara di selatan California, ketika tragedi itu berlaku awal pagi Isnin.
Lima anak kapal yang sedar, kemudian melompat ke dalam laut ketika api marak sekitar jam 3.15 pagi. Mereka kemudian diselamatkan oleh kapal persiaran yang berhampiran.
Seramai 39 orang berada dalam kapal itu, dan setakat ini 14 masih belum ditemui dan dianggap sudah meninggal dunia. – AFP, 4 September, 2019.
Komen