SATU operasi antarabangsa berjaya melakukan rampasan terbesar heroin di Britain, kata Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) dengan penemuan hampir 1.3 tan dadah dari sebuah kapal kontena.
Menurut NCA pihak berkuasa menyerbu MV Gibraltar selepas ia berlabuh di pelabuhan Felixstowe, selatan England pada 30 Ogos lalu.
Polis Britain mendapati heroin itu dengan nilai pasaran £120 juta (RM611 juta) akan berada di dalam kapal berkenaan sebaik ia berlabuh sebelum meneruskan perjalanan ke Antwerp.
Timbalan Pengarah Pasukan Sempadan Jenny Sharp berkata penyeludup menyembunyikan dadah dalam timbunan tuala dan turut menjahit 1kg blok heroin di dalam sebahagian tuala berkenaan.
“Pegawai saya mengambil masa hampir enam jam pada awal pagi Sabtu untuk mengeluarkan semua heroin itu,” katanya.
Semua kontena kemudiannya diletakkan semula di atas kapal sebelum ia memulakan pelayaran ke Antwerp.
Agensi penguatkuasaan Belanda dan Belgium mengesan pergerakan kontena itu ketika ia dalam perjalanan menggunakan lori dari Antwerp ke Rotterdam, sebelum menahan empat penyeludup.
Pegawai NCA Matt Horne berkata rampasan itu mencatat rekod sebagai yang terbesar di United Kingdom dan antara terbesar pernah dilakukan di seluruh Eropah.
“Saiz penghantaran heroin kali ini menunjukkan betapa serius ancaman yang kita hadapi sekarang,” katanya. – AFP, 4 September, 2019.
Komen