Persatuan kedai makan rayu zon merokok dekat dengan premis


Yeoh Cheong Ee

Kementerian Kesihatan melaksanakan larangan merokok di tempat makan pada 1 Januari lalu dan penguatkuasaan penuh akan bermula 1 Januari depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2019.

WALAUPUN tempoh tambahan dilanjutkan sebelum saman dikenakan atas kesalahan merokok di kedai makan, pengendali restoran berkata mereka masih tidak dapat menangani pelanggan degil yang mahu merokok di kedai mereka.

Dengan hanya tinggal empat bulan sebelum tempoh tamat, pengendali restoran kini meminta kerajaan membenarkan zon merokok yang dekat dengan tempat makan.

Presiden Persatuan Pengendali Kedai Kopi Malaysia Singapura Ho Su Mong berkata walaupun Kementerian Kesihatan membenarkan tempoh tiada penguatkuasaan sejak larangan itu diperkenalkan 1 Januari lalu, masih ada yang tidak mahu mematuhi undang-undang itu.

“Kebanyakan pelanggan tetap di kawasan luar bandar. Mereka merokok dalam restoran selama berdekad dan sudah biasa begitu.

“Kami orang berniaga, bukan pegawai penguat kuasa, jadi sukar untuk kami minta mereka keluar jika mahu merokok,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ho berkata zon merokok yang diminta pemilik kedai makan perlu rapat dengan premis, bukannya jarak 3 meter seperti sekarang.

“Saya harap Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad boleh cari penyelesaian menang-menang untuk masalah ini, termasuk mempertimbangkan penyediaan zon merokok, sebelum penguatkuasaan penuh 1 Januari depan,” kata Ho.

Beliau berkata kerajaan boleh mengguna pakai model Singapura yang termasuk meletakkan gambar peti kuning di mana perokok boleh merokok.

Sejauh mana kawasan merokok boleh disediakan dari kedai makan, Ho berkata ia boleh dirunding.

“Apa yang penting ialah tempat itu ada pengaliran udara,” katanya.

Ho berkata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang bertanggungjawab bagi undang-undang kecil menguruskan premis perniagaan perlu bekerjasama dalam membenarkan zon merokok dekat dengan premis makanan. – 4 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen