Belum ada tuntutan pampasan gangguan sistem KLIA, kata MAHB


Ragananthini Vethasalam Kalidevi Mogan Kumarappa

Gangguan pada 21 Julai lalu berlarutan sehingga empat hari menyebabkan jadual perjalanan di KLIA dan klia2 tergendala. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2019.

BELUM ada tuntutan pampasan difailkan atas gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 yang menyebabkan syarikat penerbangan rugi berjuta ringgit, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Gangguan mengakibatkan syarikat penerbangan terpaksa menanggung kos tinggi akibat kelewatan dan pembatalan penerbangan selain menyebabkan ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.

Menurut laporan, syarikat-syarikat penerbangan akan menuntut pampasan ekoran gangguan sistem di KLIA dan klia2. 

Seorang ketua syarikat penerbangan yang mahu namanya dirahsiakan dipetik berkata jumlah kerugian mencecah RM6 juta, manakala ada syarikat penerbangan lain menuntut kerugian lebih RM10 juta.

Bagaimanapun, jurucakap MAHB memberitahu The Malaysian Insight mereka belum menerima sebarang tuntutan selepas gangguan pulih sepenuhnya.

Gangguan sistem mengakibatkan syarikat penerbangan terpaksa menanggung kos tinggi akibat kelewatan dan pembatalan penerbangan selain menyebabkan ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2019.

“Tidak (tiada tuntutan pampasan), dan kalau ada pun, kami akan teliti semua tuntutan tanpa prejudis dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata jurucakap itu.

Katanya, sistem di KLIA dan klia2 kini pulih sepenuhnya dan berjalan dengan lancar.

Gangguan yang bermula pada 21 Julai lalu berlarutan sehingga empat hari menyebabkan jadual perjalanan di KLIA dan klia2 tergendala.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tony Fernandes Jumaat lalu berkata AirAsia tidak akan mengambil tindakan terhadap MAHB susulan gangguan tersebut.

Fernandes berkata masalah yang dihadapi MAHB itu merupakan perkara biasa dan beliau tidak mahu mengambil kesempatan dengan menganbil tindakan undang-undang.

“Kami tidak akan ambil sebarang tindakan tertentu terhadap MAHB atas apa yang berlaku minggu lepas. Kami tidak mahu mengambil kesempatan.

“Setiap organisasi akan mempunyai masalah masing-masing. Kami juga ada masalah sendiri,” katanya. – 4 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen