Tentera Afghanistan kuasai Kunduz selepas serangan Taliban 


Anggota pasukan keselamatan Afghanistan memeriksa sebuah kenderaan selepas berjaya menawan semula Kunduz daripada Taliban.– Gambar EPA, 3 September, 2019.

PASUKAN keselamatan Afghanistan berjaya menguasai Kunduz daripada Taliban pada Ahad, sehari selepas pemberontak itu cuba menawan bandar di utara negara itu.

Pertempuran turut tercetus pada Ahad di Pul-e Khumri, iaitu ibu negeri bagi wilayah Baghlan, namun menurut pihak berkuasa situasi adalah “terkawal”.

Taliban melancarkan beberapa siri serangan ke atas Kunduz pada awal Sabtu lalu, namun berundur selepas mendapat tentangan sengit termasuk berdepan serangan udara daripada tentera Amerika Syarikat.

Pertempuran tercetus ketika AS dan pemberontak cuba mengadakan rundingan bagi menandatangani perjanjian di Doha, Qatar yang akan menyaksikan ribuan tentera AS meninggalkan Afghanistan sebagai jaminan keselamatan.

Kunduz “bebas sepenuhnya” daripada penguasaan Taliban menjelang petang Ahad, kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan, dan menambah 56 “pengganas” terbunuh dalam pertempuran itu.

Menurut kementerian terbabit, 20 anggota pasukan keselamatan Afghanistan turut terbunuh bersama lima orang awam. 85 lagi orang awam dilaporkan cedera.

Dalam satu insiden pengebom bunuh diri bertindak meletupkan diri ketika jurucakap polis, Sayed Sarwar Hussaini sedang bercakap kepada pemberita.

Hussaini, yang turut ke udara secara langsung pada awal hari kejadian, turut terbunuh bersama 10 yang lain. – AFP, 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen